Cara Rasulullah Mengawal Kemarahan kepada Pasangan
Oleh: Najmah Saiidah
Pertikaian atau perbalahan yang berlaku antara seseorang dengan yang lain adalah perkara biasa. Biasanya pertengkaran berlaku disebabkan oleh perbezaan pendapat antara dua pihak tersebut. Inilah yang berlaku kepada pasangan suami isteri terutamanya di awal perkahwinan. Perbezaan pendapat sering berlaku kerana perkahwinan adalah proses menyatukan dua insan yang mungkin berbeza dari segi pemikiran, pandangan, malah tabiat, jadi tidak hairan jika anda kadangkala terkejut dengan gelagat pasangan sendiri. Masalah remeh pun sering menjadi masalah besar.
Sebenarnya, wajar saja hal seperti ini berlaku, malah ada yang anggap bahawa pertengkaran adalah asam garam kehidupan berkeluarga yang mewarnai kehidupan berumah tangga. Namun, ketika rasa kesal dan emosi pada pasangan membuak-buak dan menjurus pada kemarahan, sudah tentu anda tidak boleh membiarkannya berterusan, anda perlu segera mencari jalan penyelesaian.
Mengendalikan Kemarahan Sesuai Tuntunan Islam
Bukan mudah untuk mengawal kemarahan. Namun, Islam telah menjelaskan keutamaan mengawal kemarahan. Islam juga memberikan panduan terperinci tentang cara mengawal kemarahan yang membara.
Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabatnya, “Menurut kamu siapakah yang paling kuat di antara kamu?” Beberapa sahabat menjawab, “Orang yang kuat adalah orang yang tidak dapat dikalahkan oleh orang lain.” Namun, Rasulullah SAW bersabda, “Tidak. bukan seperti itu. Orang yang kuat adalah orang yang dapat mengawal dirinya apabila dia marah.”
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila salah seorang di antara kamu marah dan dia berdiri, hendaklah dia duduk kerana itu akan mengurangkan kemarahannya. Jika ia masih tidak hilang, hendaklah dia mengambil posisi tidur.” (HR Ahmad).
Dalam hadis lain, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sekiranya seseorang yang marah berkata: ‘A’uudzu billah (aku berlindung kepada Allah SWT)’ nescaya kemarahannya akan reda.” (HR Abu Adi).
Selain itu, Islam juga memerintahkan berwuduk apabila marah menguasai diri, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, ‘Sesungguhnya kemarahan itu berasal dari syaitan dan syaitan itu dijadikan dari api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang di antara kamu marah, maka berwuduklah!” (HR Abu Daud).
Demikianlah, Islam dengan sangat terperinci mengarahkan cara mengendalikan kemarahan, sekaligus memberikan pujian kepada orang yang mampu mengendalikan diri ketika kemarahan menguasai dirinya. Rasulullah SAW juga memberi contoh mengawal kemarahan terhadap isterinya.
Cara Rasulullah Mengawal Kemarahan kepada Isteri-isterinya
Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah tokoh pilihan, contoh terbaik bagi umatnya. Beginilah cara Nabi mengawal kemarahannya apabila baginda tidak menyukai apa yang dilakukan oleh isteri-isterinya.
Pertama, baginda tidak pernah menyakiti isterinya. Dalam sebuah hadis dari Aisyah ra., dia berkata, “Rasulullah SAW tidak pernah sama sekali memukul sesuatu dengan tangannya, juga tidak pernah memukul wanita (isteri), dan tidak pernah memukul seorang pembantu. Beliau memukul jika berjihad di jalan Allah. Dan tidaklah beliau disakiti dengan sesuatu sama sekali, lalu beliau membalas terhadap pelakunya, kecuali jika ada sesuatu di antara beliau membalas terhadap pelakunya, kecuali jika ada sesuatu di antara perkara-perkara yang diharamkan Allah dilanggar, maka beliau akan membalas dengan hukuman kerana Allah Azza wa jalla.” (HR Abu Dawud, dan Ibnu Majah). Dalam redaksi yang lain, Aisyah ra. berkata, “Rasulullah tidak pernah memukul isterinya walaupun hanya sekali.” (HR Muslim).
Kedua, menegur dengan tegas. Rasulullah SAW adalah sosok yang sangat pandai bersikap kepada isterinya dan sangat memahami situasi. Beliau menyikapi setiap peristiwa dengan tegas dan penuh kelembutan, seperti ketika menegur Aisyah ra. yang ketika itu berkata-kata yang tidak sepatutnya.
Ketika itu, Aisyah ra. berkata dengan nada gurauan bahawa salah seorang isteri Nabi bernama Shafiyah berbadan pendek. Rasulullah yang mendengar hal ini segera menegurnya dengan kalimat yang cukup tegas, “Cukuplah bagimu mengambil berat tentang kekurangan Shafiyah ini dan itu, sesungguhnya kamu telah mengatakan satu perkataan yang jika ia bercampur dengan air di laut nescaya ia akan membinasakan laut tersebut.” (HR Tirmidzi).
Luar biasa. Kata-kata yang tegas dan bermakna, langsung menusuk minda dan hati, membuatkan sesiapa yang dinasihati tidak akan mengulangi apa yang telah dilakukannya.
Ketiga, mendiamkan isterinya. Kisah kecemburuan isteri-isteri Rasulullah pernah memicu kemarahan Rasulullah SAW. Aisyah dan Hafshah pernah cemburu kepada isteri Rasulullah yang lainnya, iaitu ibundanya Ibrahim. Beliau memang seorang wanita berkulit putih yang kecantikannya memukau.
Suatu ketika, Aisyah dan Hafsah berkata bahawa Ibrahim (yang meninggal di usia 9 bulan) tidak mempunyai wajah yang menyerupai ayahnya (Rasulullah). Mendengar kata-kata ini, Nabi Muhammad terus marah dan mendiamkan kedua isterinya.
Tindakan tersebut dibenarkan Allah SWT dengan firman-Nya, “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).” [TMQ An-Nisaa’ (4): 34]
Benar, Rasulullah melaksanakan perintah Allah SWT dengan tidak menghiraukan dua isterinya yang lupa akan nasihatnya. Sikap Nabi adalah untuk memberikan kesan pencegahan kepada mereka berdua.
Keempat, memeluk isterinya. Dalam sebuah hadis diriwayatkan, suatu ketika Rasullullah sedang ada sedikit perselisihan dengan isterinya, Aisyah ra. kerana Aisyah terus memendam perasaan cemburu terhadap Khadijah ra., walaupun beliau telah pun meninggal dunia.
Di tengah kemarahannya, Rasulullah berkata kepada Aisyah ra. supaya isterinya tersebut memejamkan matanya. “Pejamkanlah matamu!” Lalu Rasulullah SAW mendekati Aisyah ra. yang sedang berdiri. Setelah mereka berdekatan, Rasulullah SAW memeluk isterinya tersebut seraya mengucapkan, “Ya Humairaku, rasa marahku telah pergi usai aku memelukmu.” (HR Muslim).
Mampukah kita bersikap seperti Rasulullah SAW? Ketika pasangannya merajuk, beliau yang sedang marah justeru memeluk isterinya dengan penuh kasih sayang untuk mengusir amarah yang boleh memperumitkan masalah. Masyaallah, luar biasa.
Kelima, menyentuh wajah isteri dengan penuh kasih sayang. Aisyah ra. memang terkenal memiliki sifat kuat cemburu. Suatu ketika, tumbuh rasa cemburu Aisyah ra. kepada isteri pertama Rasulullah, Khadijah ra. Di antara isteri-isteri Rasulullah, memang Khadijah ra. yang membuatnya sering cemburu.
Aisyah ra. memang tidak pernah bertemu dengan Khadijah ra., tetapi kerana Rasulullah pada kesempatan apa pun seringkali menyebut nama Khadijah, maka timbullah rasa cemburu di hati Aisyah.
Suatu hari, kecemburuannya datang kembali. Beliau, bahkan sampai berkata bahawa Khadijah adalah seorang wanita tua, dan Allah telah memberikan pengganti yang lebih baik untuk Rasulullah.
Mendengar perkataan Aisyah ra., Rasulullah lalu mencubit hidung isterinya tersebut, seraya berkata, “Ya Humaira, bacalah doa. Wahai Rabb-ku, ampuni dosa-dosaku, hilangkan kerasnya hatiku, dan lindungi aku dari fitnah yang menyesatkan.” (HR Ibnu Sunni).
Keenam, menjaga perasaan isteri dan memaafkannya. Dikisahkan dalam hadis, ketika itu Rasulullah pulang dari melaksanakan jihad. Aisyah yang telah lama menunggu kepulangan Rasulullah segera menyambut suami yang amat dicintainya tersebut. Lalu beliau membuatkan segelas minuman manis untuk Rasulullah SAW dan menyajikannya.
Aisyah duduk menunggu sambil berharap Rasulullah memberikannya separuh dari minuman itu kepada dirinya, seperti kebiasaan yang sering dilakukan Rasulullah. Namun, lama menunggu, Rasulullah tidak juga memberikan minumannya pada Aisyah. Aisyah pun menanyakan hal itu, “Ya Rasulullah, biasanya engkau memberi sebahagian minuman itu kepadaku, tetapi mengapa hari ini engkau tidak memberikannya?”
Rasulullah terus minum minumannya, sehingga Aisyah mengulangi pertanyaannya tiga kali. Ketika minuman tersebut tinggal sedikit, akhirnya Rasulullah memberikan gelas berisi minuman itu kepada Aisyah. Aisyah segera meneguk airnya, tetapi sesaat kemudian dia memuntahkannya kembali. Aisyah baru menyedari bahawa beliau telah tersilap mencampurkan garam ke dalam minuman tersebut sehingga rasanya masin.
Begitu mulia sikap Rasulullah. Bahkan dalam keadaan seperti itu, beliau tidak ingin menyakiti hati sang isteri yang telah bersemangat menyajikan minuman untuknya. Walaupun Aisyah tersilap memasukkan garam dan bukannya gula, tetapi Rasulullah tetap meminum hidangan pemberian isterinya tersebut tanpa menyinggung kesalahannya.
Ketujuh, melindungi isterinya. Ayah Aisyah ra, iaitu Abu Bakar ra. suatu ketika pernah marah kepada puterinya tersebut kerana tahu bahawa kecemburuan Aisyah berlebihan terhadap Rasulullah. Abu Bakar bahkan sampai memukul puterinya itu. Rasulullah yang mengetahui hal tersebut lalu menegur sahabat sekaligus mertuanya itu. Beliau berkata, “Aku tidak menginginkan hal ini darimu!” Setelah menegur Abu Bakar ra, Rasulullah berkata kepada isterinya, “Tidakkah engkau melihat bagaimana aku telah menyelamatkan engkau dari kemarahan ayahmu?” (HR Muslim).
Demikianlah, Islam mengajarkan kepada kita bahawa seorang muslim hendaklah mengendalikan emosi dan kemarahannya. Bahkan Rasulullah SAW telah memberikan teladan yang luar biasa bagaimana beliau mengawal kemarahan terhadap pasangannya.
Semoga kita dapat meneladani Rasulullah, sehingga keharmonian dalam keluarga tetap terjaga. Amin. Wallahualam bissawab.
Sumber: https://www.facebook.com/reel/2033204050492792