Muslimah Tidak Boleh Rasa Cukup Hanya dengan Menjaga Diri dan Anak
Penulis: Syamsiyah Jamil
Ibu Homeschooler, Puan Noraishah Ishak mengatakan bahawa Muslimah tidak boleh merasa cukup hanya dengan menjaga diri dan anak-anak sahaja tetapi mesti menjadi orang yang bermanfaat kepada manusia.
“Saya rasakan kita semua, bukan saya saja, kita tak boleh kata cukup setakat ini. Kita kena ada satu motivasi kita nak jadi seperti mana yang dikatakan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah kata apa? Sebaik-baik manusia yang bermanfaat kepada manusia, yang paling bermanfaat,” katanya dalam Forum Muslimah Ideal bertajuk Seni Membentuk Generasi Pemimpin di Putrajaya, Ahad (27/4/2025).
Beliau berkongsi pengalaman beliau menjadi ibu Homeschooler untuk tiga orang anaknya di mana tujuan asal beliau adalah untuk memperbaiki diri dan mendidik anak sahaja. Tetapi beliau sendiri mencari jawapan kepada berbagai persoalan dalam kehidupannya.
“Jadi kemudiannya saya nampak tak bolehlah tujuan saya ni. Saya kena ubah tujuan tu. Tak boleh dah saya kata untuk saya dan anak-anak. Kita kena ada satu lagi perkara yang kita kena buat. Kita mesti buat sesuatu,” ujarnya.
Beliau kemudian menjumpai jawapannya daripada Surah al-’Asr iaitu tidak cukup bagi seorang Muslimah itu hanya dengan beriman dan beramal soleh, tetapi mesti berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
“Kalau kita sebarkan apa yang kita faham, apa yang kita tahu, macam hari ni kan saya cerita, Prof cerita tentang tips. Kawan-kawan hadirin hadirat semua dah tahu, sampaikan pula pada orang lain. Bukan saja saya dapat, kawan-kawan yang sampaikan ni pun dapat, tanpa dikurangi sedikit pun,” tegasnya.
Beliau mengajak para peserta forum untuk menghayati ayat 110 daripada surah Ali-Imran yang menjelaskan tentang perintah Allah kepada umat Muhammad untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.
“Itulah ayat-ayat ataupun bukti-bukti yang kita harus pegang untuk kita mengatakan tak cukup untuk saya buat untuk saya, diri saya, anak saya keluarga saya sahaja. Kita harus jadi orang yang tidak mementingkan diri. InsyaAllah kalau kita pegang kedua-dua ni, barulah kita boleh bergerak ke arah yang jauh, lebih baik. Apa dia? Mengubah suasana yang tidak kondusif kepada suasana yang kondusif satu hari nanti insyaAllah,” lanjutnya.
Beliau berpesan bahawa sekali seseorang menjadi ibu atau bapa, dia akan tetap menjadi ibu atau bapa walaupun anak-anak sudah besar. Maka semua orang mesti bergerak melakukan sesuatu kerana setiap orang akan dipersoalkan di akhirat tentang apa yang dibuat di dunia.
“Jadi bermulalah dari sekarang. Lakukanlah sesuatu. Ia tidak pernah, it’s never too late. Tidak pernah terlalu lewat untuk kita memulakan sesuatu demi menuju redha Allah,” tutupnya.