[Mafahim Islamiyyah] Idrak (Bahagian 5/5)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
(Sambungan dari Bahagian 4/5)
Para ilmuwan telah keliru dalam eksperimen-eksperiman mereka kerana telah membandingkan manusia dengan haiwan. Sebenarnya, potensi pengikat yang ada pada otak manusia tidak ada dalam otak haiwan. Oleh sebab itu, sebagaimana difahami dan dinyatakan oleh syarak, haiwan merupakan makhluk yang tidak boleh berfikir.
Mereka juga telah keliru kerana menganalogikan sesuatu yang hadir (tampak) dengan sesuatu yang ghaib (tidak tampak). Mereka juga telah menganalogikan manusia moden dengan manusia pertama. Sedangkan analogi yang benar adalah menganalogikan manusia dengan manusia dan menganalogikan yang ghaib (tidak tampak) dengan yang hadir (tampak).
Manusia ada dan potensinya boleh ditemui dan difahami. Manusia tidak dapat berfikir dan memberikan status hukum terhadap realiti tanpa adanya maklumat sebelum. Jadi apakah manfaat yang boleh kita perolehi daripada mengetahui cara manusia pertama berfikir?
Adalah lebih baik jika kita katakan bahawa sebenarnya manusia pertama itu telah memiliki potensi yang sama seperti manusia moden. Jika manusia moden tidak dapat memahami apa-apa dan menilainya, kecuali dengan maklumat sebelum, begitu juga dengan manusia pertama.
Al-Quran telah memberi berita kepada kita, “Dia telah mengajarkan kepada Adam nama-nama semua benda.” Juga firman-Nya, “Dia telah mengajarkan kepada manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.”
Adapun maklumat-maklumat yang terbentuk dalam diri manusia setelah dia berulang kali menginderakan apa sahaja yang berkaitan, yang dapat memenuhi nalurinya dan keperluan jasmaninya, maka maklumat tersebut tidak sesuai untuk menilai segala sesuatu.
Sebab, maklumat ini hanya berkaitan sama ada ia boleh dipenuhi atau tidak. Potensi pengikat yang ada dalam otak manusia dan tidak ada dalam otak haiwan menjadikan manusia mampu bertindak balas terhadap realiti dengan reaksi yang lebih baik dan pantas berbanding haiwan.
Apabila di hadapan manusia dihidangkan buah-buahan yang belum pernah dilihat sebelum ini, lalu dia memakan dan merasai rasa serta aromanya, manusia akan memahami bahawa buah-buahan itu dapat memenuhi keperluan jasmaninya. Oleh itu, ketika dia melihat buah-buahan itu pada kali kedua, otaknya bertindak balas terhadap maklumat yang terbentuk sebelum ini sebagai hasil penginderaannya pada kali pertama. Ini adalah tindak balas yang berkaitan dengan rasa dan aroma bahawa buah-buahan itu dapat memuaskannya.
Bagaimanapun, maklumat yang berkaitan dengan pemenuhan itu tidak berguna dalam menilai realiti, kecuali hanya dari aspek sama ada ia dapat memenuhi keperluannya atau tidak. Maklumat itu sendiri tidak berguna dan tidak sesuai untuk menilai hakikat benda tersebut dan unsur-unsur pembentukannya.
Manusia tidak akan dapat menilai asal buah-buahan, kematangannya, dan kandungan gula, garam, air dan vitaminnya. Walaupun penginderaan terhadap buah-buahan itu dilakukan berulang kali, ia hanya akan menghasilkan maklumat bahawa buah-buahan ini merupakan benda yang boleh memuaskan rasa laparnya sahaja.
Ketika manusia ingin menilai buah-buahan itu dari aspek lain, maka dia memerlukan maklumat sebelum dari luar otaknya dan dari luar buah-buahan itu. Tanpa maklumat sebelum, maka pengetahuannya terhadap buah-buahan tersebut menyerupai naluri haiwan terhadap benda yang boleh memuaskan rasa laparnya.
Jadi, manakah yang terlebih dahulu wujud, pemikiran atau benda? Bagi menjawab persoalan ini, kami menjawab, bahawa sebenarnya benda ini terlebih dahulu wujud sebelum pemikiran apabila dinisbahkan kepada nabi Adam AS, Allah SWT benar-benar telah mengajarkan kepada Adam AS nama benda yang telah wujud, sebelum Allah memberi maklumat sebelumnya kepada Adam tentang benda-benda itu.
Oleh kerana itu, benda telah wujud sebelum manusia berfikir. Tanpa adanya realiti benda, berfikir tidak akan berfungsi. Ini kerana hakikat benda merupakan unsur dasar dari unsur berfikir. Berfikir juga akan memberikan status hukum kepada realiti. Jika realiti tidak ada, pemikiran juga tidak akan ada. Oleh kerana itu, benda dinisbahkan kepada pemikiran manusia terlebih dahulu daripada pemikiran.
Ini dinisbahkan kepada manusia. Sedangkan dengan dinisbahkan kepada adanya benda dari tidak ada, maka telah disebutkan dalil qath’i (pasti) yang menunjukkan bahawa perintah Allah mendahului adanya benda.
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, ‘Jadilah!’ Maka terjadilah ia.” [TMQ Yaasiin (36): 82].
Perintah Allah SWT mendahului adanya benda dari sebelumnya tidak ada. Allah SWT adalah Zat yang Awal, tempat bergantungnya makhluk. Kewujudan-Nya tidak bersandar pada sesuatu, justeru kewujudan makhluk-makhluk inilah yang bersandar kepada-Nya.
“Dan Dia telah menciptakan segala sesuatu dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya.” [TMQ Al-Furqaan (25): 2].
“Dan berhala-berhala yang mereka sembah selain Allah, tidak dapat membuat sesuatu apa pun, sedangkan berhala-berhala itu (sendiri) dibuat oleh manusia.” (TMQ An-Nahl (16): 20).
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #PotensiManusia #Idrak #Fikiran #ProsesBerfikir