[Nota Ringkas Keluarga Muslim Ideal]
Keluarga adalah Anugerah yang Besar bagi Manusia
Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 21:
“Dan antara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya), bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia dan dijadikan-Nya dengannya, dan dijadikanNya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.“ (TMQ Ar-Ruum [30]: 21)
Berdasarkan ayat tersebut, ada tiga unsur utama yang menjadi tonggak keluarga: sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (rahmat). Menurut Ibnu Katsir, sakinah adalah ketenangan jiwa dan kestabilan emosi yang muncul dari pernikahan yang sah dan diberkahi, sedangkan mawaddah adalah cinta yang mendalam yang ditunjukkan melalui tindakan yang lembut dan penuh kasih sayang. Sementara itu, rahmah bererti belas kasihan dan toleransi, iaitu kasih sayang yang terus berlanjutan bahkan ketika cinta menjadi redha, terutama ketika pasangan menua atau melalui fasa-fasa yang penuh cabaran dalam hidup. Imam al-Qurtubi juga menegaskan bahawa ketiga unsur tersebut merupakan anugerah yang hanya akan muncul dari pernikahan yang dibangun di atas asas keimanan dan ketakwaan.
Oleh kerana itu, keluarga Muslim ideal bukan hanya disatukan oleh akad, tetapi juga disemai dengan ketenangan rohani, saling memelihara cinta dan berkasih sayang.
Selain itu, dalam surah an-Nahl ayat 72, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, dan dijadikan bagi kamu daripada isteri kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu daripada benda-benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?“ (TMQ Al-Nahl [16]: 72)
Ini menunjukkan bahawa keluarga adalah anugerah Allah yang besar berupa pasangan hidup, anak-anak, cucu-cucu, dan rezeki yang baik. Semua ini datang daripada-Nya dan bukan daripada usaha manusia semata-mata. Allah jadikan pasangan daripada jenis kita sendiri, supaya hidup kita lebih serasi dan tak sunyi. Anak-anak dan cucu bukan saja sebagai penyejuk hati, tapi juga penolong dalam hidup dan penyambung amal kita apabila kita sudah tiada.
Namun sayangnya, ramai manusia menikmati manfaat dari semua nikmat ni… tapi tetap berpaling dari syariat-Nya. Oleh itu penting untuk kita fahami bahawa syukur sebenar bukan sekadar ungkapan, tapi ketaatan kepada Allah lah yang merupakan tindakan yang benar-benar menghargai nikmat-Nya.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat