[Nota Ringkas Keluarga Muslim Ideal]
Tujuan Berkeluarga
Dalam Islam, perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua hati, ia adalah sunnah Nabi SAW, ruang menyempurnakan agama, dan mekanisme untuk menjaga fitrah manusia dalam ikatan yang mulia.
Antara tujuan besar perkahwinan adalah:
- Memelihara keturunan (hifz al-nasl) – agar nasab manusia dijaga secara sah dan bersih.
- Mengawal nafsu secara syarie – sebagai benteng daripada zina dan kebejatan moral.
- Memberi ruang untuk ibadah dan ketenangan jiwa – kerana hidup berkeluarga menyokong keimanan dan ketundukan kepada Allah.
Selain itu perkahwinan bukan hanya hak, tetapi amanah. Suami dan isteri dituntut untuk saling memahami, berlemah lembut, dan menunaikan tanggungjawab masing-masing. Bahkan, peranan suami mendidik isterinya dianggap sebagai ibadah, dan layanan baik terhadap pasangan dianggap sebagai tanda ketinggian akhlak seseorang Muslim.
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW. daripada Aisyah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku, apabila sahabat kalian meninggal dunia maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia jangan membicarakan keburukan- keburukannya).” (HR Tirmidzi No: 3830)
Imam al-Ghazālī dalam Iḥyā’ ‘Ulūm al-Dīn secara konsisten menggambarkan hubungan kekeluargaan seperti adab dalam rumah tangga, interaksi suami isteri, hormat terhadap ibu bapa, menjadikan keluarga sebagai “madrasah kehidupan“.
Hal ini kerana dalam lingkungan rumah tangga dan interaksi seharian inilah, seseorang mula belajar makna akhlak, kasih sayang, tanggungjawab dan pengorbanan. Justeru, keluarga menjadi tapak awal yang membentuk peribadi dan mencorak nilai kehidupan sebelum seseorang melangkah ke medan sosial yang lebih luas.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat