Perisai Umat
Oleh: Arief B. Iskandar
Lebih daripada satu setengah tahun telah berlalu sejak rejim Zionis Yahudi melancarkan jenayah genosid yang kejam terhadap bangsa Palestin. Ribuan nyawa telah terkorban. Ratusan ribu lagi mengalami kecederaan. Jutaan yang lain hidup dalam ancaman yang sama. Namun begitu, dunia seakan-akan membisu. Tiada usaha yang sungguh-sungguh untuk menghentikan kekejaman ini. Tiada seorang pun penguasa dunia khususnya di negeri-negeri Muslim, yang berani menggerakkan pasukan mereka untuk menentang tindakan yang biadap ini.
Sedangkan telah jelas dinyatakan dengan tegas di dalam al-Quran dan as-Sunnah bahawa umat Islam itu bersaudara. Persaudaraan ini terikat atas dasar akidah yang sama: Akidah Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [TMQ al-Hujurat (49): 10]
Daripada ayat ini, jelas bahawa sesiapa sahaja, di mana jua mereka berada di seluruh dunia, asalkan Mukmin, maka mereka adalah bersaudara. Ini kerana asas kepada ukhuwah (persaudaraan) adalah kesatuan akidah. Ayat ini menuntut agar ukhuwah dalam kalangan orang Mukmin itu benar-benar kuat, bahkan lebih kukuh daripada persaudaraan berdasarkan hubungan darah (Rujuk: Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsîr al-Bahr al-Muhîth, 8/3; Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, 14/11).
Rasulullah SAW juga telah menegaskan: “Orang Mukmin terhadap Mukmin yang lain seperti satu bangunan; sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (Hadis riwayat al-Bukhari, at-Tirmizi, an-Nasa’i dan Ahmad).
Selain kerana faktor persaudaraan yang kukuh, kewajipan untuk membela umat Islam yang ditindas juga berpaksikan pada hakikat bahawa nyawa seorang Muslim amatlah berharga. Allah SWT menetapkan bahawa membunuh seorang insan yang tidak berdosa ibarat membunuh seluruh umat manusia (Rujuk: Surah al-Maidah (5): 32]
Bahkan Allah SWT turut memberikan ancaman yang amat keras terhadap sesiapa yang membunuh seorang Mukmin (Rujuk: Surah an-Nisa’ (4): 93]
Rasulullah SAW bahkan bersabda:
لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عِنْدَ اللهِ مِنْ قَتْلِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ
”Kehancuran dunia ini adalah lebih ringan di sisi Allah berbanding dengan pembunuhan seorang Muslim” (HR an-Nasa’i).
Oleh sebab itulah, sepanjang sejarah penerapan syariah Islam, tidak pernah ada darah seorang Muslim pun yang ditumpahkan, kecuali akan diberikan pembelaan yang besar daripada umat dan Daulah Islam. Ibnu Hisyam dalam Sirah-nya menceritakan bahawa apabila seorang pedagang Muslim dibunuh secara beramai-ramai oleh kaum Yahudi Bani Qainuqa’ kerana mempertahankan maruah seorang Muslimah yang disingkap pakaiannya oleh pedagang Yahudi, Rasulullah SAW segera mengutus para Sahabat untuk memerangi mereka dan mengusir mereka dari Madinah setelah mengepung perkampungan mereka selama 15 malam. (Ibnu Hisyam, Sîrah Ibnu Hisyâm, 3/9–11).
Rasulullah SAW, sebagai ketua negara Islam di Madinah, telah melindungi setiap titisan darah umat Islam. Demikian juga para Khulafa’ ar-Rasyidin dan khalifah-khalifah selepas mereka, yang terus menjadi pelindung kepada umat daripada sebarang ancaman dan gangguan. Dengan adanya pelindung sebegini, umat Islam hidup tenang di mana sahaja mereka berada.
Malangnya, meskipun telah difahami dengan jelas bahawa umat Islam itu bersaudara di mana-mana sahaja mereka berada, serta betapa tingginya nilai nyawa seorang Muslim, realitinya prinsip ini seolah-olah tidak difahami oleh para pemimpin Arab dan umat Islam pada masa kini. Jika mereka benar-benar memahami, mengapa sejak awal lagi mereka tidak segera bertindak membela umat Islam di Palestin yang telah lama dizalimi? Mengapa mereka tidak pernah tergerak untuk menghantar bantuan ketenteraan demi menyelamatkan saudara-saudara Muslim di Palestin, yang kini sedang berdepan dengan genosid yang kejam oleh Zionis Yahudi?
Terdapat dua sebab utama mengapa hal ini berlaku: Pertama, kerana dominasi ‘asyabiyah berbentuk nasionalisme dan konsep negara bangsa yang telah merosakkan ukhuwah Islamiah. Setiap negara umat Islam hanya memikirkan kepentingan negara sendiri atau kebajikan rakyatnya sendiri semata. Tragedi kemanusiaan di Palestin saat ini, dan juga di negeri-negeri Muslim lain, setakat ini tidak dilihat sebagai masalah bersama yang mesti ditangani segera. Kedua, kebanyakan penguasa Muslim dan Arab telah menjadi boneka Barat, khususnya Amerika dan Rusia. Mereka lebih suka berdiam diri malah menyokong dasar tuan mereka yang jelas memusuhi orang Islam. Ini terbukti dengan tiadanya sebarang tindakan tegas atau konkrit apabila umat Islam Palestin dibantai, malah terus mengalami genosid sehingga ke saat ini.
Dengan semua tragedi yang menimpa umat Islam hari ini, sewajarnya kita merenung kembali sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu adalah perisai; umat Islam berperang di belakangnya dan berlindung di bawah kepimpinannya.” (HR Muslim)
Sabda Rasulullah SAW ini jelas menunjukkan betapa pentingnya kewujudan seorang pemimpin yang berperanan sebagai pelindung umat. Inilah yang difahami dan diamalkan oleh para khalifah terdahulu. Salah seorang daripadanya ialah Khalifah al-Mu’tashim Billah daripada Kekhilafahan Abbasiyah. Beliau benar-benar menghayati dan melaksanakan hadis ini dalam kepimpinannya iaitu menjadi “junnah” (perisai) bagi rakyatnya.
Menurut catatan Ibn Khalikan dan Ibn al-Atsir, peristiwa ini bermula apabila seorang wanita Muslimah yang mulia, keturunan Saidatina Fathimah RA telah dihina dan ditawan oleh seorang kafir Romawi. Berita ini sampai ke pengetahuan Khalifah al-Mu’tashim Billah. Tanpa berlengah, baginda segera bertindak. Beliau mengerahkan bahkan memimpin sendiri puluhan ribu tentera menuju ke Kota Amuriyah. Jumlah pasukan yang begitu besar itu digerakkan semata-mata untuk membela maruah seorang wanita Muslimah yang dinodai oleh seorang kafir Romawi tersebut.
Pendek cerita, Kota Amuriyah berjaya ditakluk. Tidak kurang daripada 30,000 tentera Romawi terkorban, dan 30,000 lagi ditawan. Wanita Muslimah itu akhirnya berjaya diselamatkan dan dibebaskan. (Rujuk: Ibn Khalikan, Wafayât al-A’yân, 2/149; Ibn al-Atsir, Al-Kâmil fî at-Târîkh, 6/36)
Kisah keberanian ini sangat kontra dengan keadaan para pemimpin Arab dan umat Islam saat ini. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang berani menggerakkan tenteranya untuk melindungi umat Islam, khususnya saudara-saudara kita di Palestin. Mereka memilih untuk berdiam diri atau menunjukkan sikap pengecut. Tiada yang mahu tampil sebagai “lelaki sejati” walaupun hanya untuk satu hari.
Wa mâ tawfîqîillâ bilLâh.
#FreePalestine #FreePalestineWithJihadAndKhilafah #ArmiesToPalestine #ArmiesToGaza #SpeakUpForPalestine