Kepentingan Geostrategik Sudan
15 April 2025 menandakan genap dua tahun Sudan dilanda perang saudara yang dahsyat, mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terbesar dan paling teruk di dunia hari ini. Dua tahun lalu pada bulan April, pertempuran meletus antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF), menyebabkan jutaan orang dipindahkan, negara terjerumus ke dalam krisis kekurangan makanan yang parah, serta memusnahkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang penting. Walaupun bencana kemanusiaan ini sangat besar, perang Sudan sebahagian besarnya terlepas daripada perhatian global. Sudan menjadi perang yang dilupakan, terutamanya bagi dunia Barat yang hanya menumpukan perhatian pada Ukraine. Jadi, apakah faktor geopolitik yang menjadikan Sudan begitu menggoda untuk diperebutkan?
Kedudukan Geografi Sudan
Sudan ialah sebuah negara yang terletak di timur laut benua Afrika, iaitu jantung strategik Afrika dan Timur Tengah. Sebelum referendum yang memisahkan Sudan kepada dua bahagian pada tahun 2011, Sudan merupakan negara ketiga terbesar di Afrika, dan keenam belas terbesar di dunia. Negara ini bersempadan dengan Mesir di utara, Laut Merah di timur laut, Eritrea di timur, Ethiopia di tenggara, Afrika Tengah di barat daya, Chad di barat, Libya di barat laut, dan Sudan Selatan di bahagian selatan. Sudan (termasuk Sudan Selatan) juga merupakan negara di mana Sungai Nil mengalir, sungai terpanjang di dunia.
Sudan dipenuhi dengan sumber mineral dalam kuantiti yang sangat banyak seperti emas, petroleum, gas asli, uranium, kromit, dan bijih besi, selain asbestos, kobalt, tembaga, granit, gipsum, kaolin, timah, mangan, mika, nikel, perak, uranium dan zink.
Selain itu, Sudan diberkati dengan tanah pertanian yang subur kerana Sungai Nil yang lagenda itu mengalir melaluinya. Dari segi geostrategik, Sudan terletak di sepanjang ciri semula jadi strategik, iaitu (1) Sungai Nil dan (2) Laut Merah. Kedua-dua lokasi ini memberikan Sudan nilai strategik yang sangat tinggi dari segi perdagangan, sumber dan pengangkutan.
Lapisan Konflik Sudan
Majalah The Economist pernah menggambarkan Sudan sebagai sebuah “mesin kekacauan” dengan gelombang gegaran serantau. Ringkasnya, jika Sudan bergolak, gelombang gegarannya akan beralun ke seluruh rantau ini, memandangkan kedudukan Sudan yang strategik di jantung Afrika dan Timur Tengah. Sudan adalah gambaran konflik serantau, di mana dinamik tempatan dan antarabangsa semakin bersilang, dengan krisis kemanusiaan yang kian parah.
Ketidakstabilan adalah pintu masuk kepada penjajahan. Oleh kerana tiada pihak mampu menang dengan sendiri, baik SAF mahupun RSF telah menarik kuasa luar sebagai sekutu, sama ada dengan menghantar wang dan senjata atau melalui campur tangan langsung – yang sudah tentu pihak luar yang mempunyai kepentingan di Sudan akan mengeksploitasi kelebihannya. Sementara itu, kegagalan institusi antarabangsa dan sikap acuh tak acuh demokrasi Barat membolehkan pemain lain yang lebih berani untuk masuk campur. Di sinilah geopolitik yang mencipta lapisan konflik bersilang dengan pelbagai kepentingan. Mari kita bongkarkan ia satu persatu.
a. Paksi Kekacauan Tempatan: Kompleks Perindustrian Paramiliter
Kerajaan peralihan tidak pernah mampu menyaingi RSF sebagai legasi paling berbahaya Bashir; malah terus mengabsahkan RSF dan memberi ruang untuk berkembang menjadi sebuah pasukan tentera kedua.
Selepas kejatuhan Omar Bashir, legasi paling berbahayanya ialah sebuah entiti paramiliter dengan kuasa ekonomi yang besar. RSF telah berubah menjadi apa yang digelar oleh Alex de Waal, Pengarah Eksekutif World Peace Foundation dan pakar utama Sudan, sebagai “sebuah perusahaan tentera upahan transnasional persendirian.” Selain tentera upahan, RSF bergantung kepada perniagaan keluarga Hemedti serta lombong emas. Wang, senjata dan emas akhirnya menjadi sumber tenaga RSF. Tanpa aliran wang daripada pelbagai sumber, RSF tidak mungkin mampu menampung operasi mahalnya, apatah lagi ketika dinamika dalaman dan serantau semakin menyusutkan sumbernya.
Ini tidak menghairankan kerana RSF lahir daripada ekosistem kompleks industri paramiliter, yang menjadikan kuasa senjata memenuhi pengumpulan kekayaan kapitalis, sehingga membawa kepada perkahwinan (penyatuan) kepentingan dengan golongan elit. RSF juga dibesarkan dalam persekitaran ketenteraan yang represif kerana Tentera Sudan (SAF) sudah lama terlibat dalam bidang politik, sosial dan ekonomi sejak tahun 1950-an. Akibatnya, fraksi tentera bersaing dalam “aktiviti perdagangan komersial, industri, dan pertanian.”
Betapa buruknya sindrom industri ketenteraan di Sudan? Kita boleh membaca data dari bulan Mei 2020 yang menunjukkan bahawa hanya di bawah Kementerian Pertahanan Sudan, terdapat lebih 200 syarikat dengan hasil tahunan sebanyak 110 bilion pound Sudan (bersamaan USD 2 bilion pada kadar rasmi ketika itu). Manakala RSF pula memiliki 250 syarikat, selain pendapatan besar daripada perniagaan tentera upahan. Menurut semakan menyeluruh oleh penyelidik dan penganalisis politik Jean-Baptiste Gallopin, syarikat-syarikat ketenteraan ini terlibat dalam pengeluaran dan penjualan emas, mineral lain, marmar, kulit, ternakan, dan gam arab. Mereka juga terlibat dalam perdagangan import—termasuk menguasai 60% pasaran yang berkait rapat dengan kehidupan rakyat.
Model kepimpinan ketenteraan seperti ini sangat tidak menentu dan tidak akan membawa negara kepada kestabilan kerana ia meletakkan kuasa wang dan senjata sebagai pengawal utama. Akibatnya, Sudan sentiasa dilanda konflik dan kudeta yang tidak berkesudahan. Rakyat Sudan, dengan populasi Muslim hampir 50 juta, akhirnya menjadi mangsa kerakusan dan kedangkalan pemimpin mereka yang mudah diperalat kuasa asing.
b. Konflik Serantau Sungai Nil
Sungai Nil ialah sungai kedua terpanjang di dunia yang menjadi sumber air yang mengalir melalui 11 negara di benua Afrika. Kewujudan Sungai Nil sangat penting bagi kelangsungan keperluan air negara-negara yang dilaluinya. Sudan merupakan salah satu negara utama yang didominasi oleh aliran sungai ini.
Di bawah pemerintahan kolonial pada tahun 1929, pihak British mencapai perjanjian dengan Mesir yang memberikan mereka kawalan penuh ke atas sungai tersebut. Seterusnya pada tahun 1959, perjanjian ini disemak semula, memberikan Mesir kawalan sebanyak 66% aliran sungai, Sudan 22%, dan selebihnya hilang akibat penyejatan. Ramai diplomat Mesir berhujah bahawa ini Adalah perjanjian yang mengikat secara sah dan tidak boleh diubah. Sebaliknya, Ethiopia berhujah bahawa meskipun sumber Sungai Nil datang dari Ethiopia, mereka tidak pernah termasuk dalam perjanjian tersebut, oleh itu, dengan alasan itu, kini mereka berhak untuk menolak perjanjian tersebut.
Konflik Sungai Nil bermula pada tahun 2011 apabila Ethiopia mengumumkan rancangan pembinaan empangan yang dinamakan Grand Ethiopian Renaissance Dam (GERD). Tujuan pembinaan GERD adalah sebagai loji jana kuasa hidroelektrik di Ethiopia yang bersumber daripada Sungai Nil. Malangnya, perkara ini tidak disambut baik oleh Mesir dan Sudan kerana kedua-dua negara merasa terancam dengan pengurangan aliran air ke negara mereka.
Ramai pihak bimbang berlakunya kemungkinan konflik ketenteraan antara negara-negara yang terlibat, yang akan memberi kesan kepada Eropah dan seluruh dunia. Pada tahun 2021, Majlis Eropah menyatakan bahawa “penyelesaian melalui rundingan dalam pertikaian GERD akan memberi sumbangan besar kepada kestabilan serantau dan pembangunan mampan di ketiga-tiga negara yang terlibat.”
c. Campur Tangan Global dari Laut Merah
Laut Merah merupakan laluan perdagangan antarabangsa utama yang menghubungkan Asia dan Eropah—dianggarkan 12-15% perdagangan maritim global bernilai lebih USD 1 trilion melalui Laut Merah setiap tahun. Laut Merah sangat penting bagi tiga pemain utama: Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Rusia, yang menambahkan lagi kerumitan krisis Sudan. Sudan hanya 30 km dari Arab Saudi merentasi Laut Merah. Ini memudahkan perdagangan asing dan kepentingan luar masuk ke negara tersebut.
Di sepanjang Laut Merah, Sudan mempunyai tujuh jiran yang terdedah serta 800 km garis pantai. Apabila sebuah negara seperti Sudan yang berada di wilayah strategik runtuh, ia akan menarik campur tangan asing yang seterusnya mengeksport ketidakstabilan ke negara jiran. Jadi, Sudan boleh dengan cepat menggugat kestabilan Chad, Somalia, Ethiopia, Sahel serta negara-negara lain di Tanduk Afrika dan Afrika Timur. Sebaliknya, apabila pelarian Sudan menuju ke Eropah dan kuasa-kuasa pengacau serta campur tangan datang dari Teluk dan Timur Tengah, peperangan ini malah mampu menjejaskan tiga benua sekali gus.
UAE, yang menyokong RSF, berhasrat memperluaskan pengaruhnya di Sudan dan mendapatkan jaminan akses kepada sumber berharga, khususnya emas; dianggarkan 50-80% (sekitar 60 tan) emas Sudan diseludup terutamanya melalui UAE, dengan nilai sebenar dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada angka rasmi. Inilah sebabnya UAE sangat berminat terhadap pelabuhan serta lokasi strategik Sudan di Laut Merah bagi memperluaskan kehadiran maritimnya untuk menyaingi pengaruh kuasa-kuasa saingan di Laut Merah dan Tanduk Afrika. Malah, UAE telah melatih askar dari lapan negara Afrika, termasuk Ethiopia, dan membina pangkalan ketenteraan di negara jiran Sudan, termasuk Chad, Eritrea, Mesir, Libya serta kawasan di bawah kawalan Kerajaan Somalia.
Langkah-langkah ini juga dirangka oleh UAE (yang rapat dengan entiti Zionis dan menjadi pelopor Abraham Accords) untuk menentang Islam radikal, mungkin dengan mengenangkan bahawa di Sudanlah Osama bin Laden mula menubuhkan organisasi Al Qaeda pada tahun 1980-an. Dengan membina hubungan pertahanan ini, UAE boleh menggerakkan tentera dari negara lain untuk berperang di Sudan bersama proksi mereka, RSF.
Sementara itu, bagi Rusia, adalah penting untuk mengekalkan kepentingannya di Laut Merah dan Lautan Hindi, yang mempunyai kesan terhadap kawalan ke atas Terusan Suez. Rusia bermain di kedua-dua pihak, menyokong kedua-dua belah pihak. Sebagai balasan atas sokongannya kepada al-Burhan dan Hemedti, Kumpulan Wagner, sebuah pasukan paramiliter Rusia, mendapat akses kepada emas bernilai berbilion dolar. Sumber ini boleh digunakan untuk membiayai inisiatif Rusia lain, termasuk perang di Ukraine.
Bagi Arab Saudi, yang menyokong SAF, Laut Merah amat penting untuk Vision 2030 Arab Saudi (Wawasan Arab Saudi 2030), rangka kerja strategik bagi mengurangkan pergantungan negara itu kepada minyak dan mempelbagaikan ekonominya. Salah satu komponen utama Vision 2030 ialah pembangunan infrastruktur pelancongan Laut Merah untuk menarik pelancong antarabangsa. Konflik berterusan dan tindakan ekstremis di Laut Merah boleh menggugat aspirasi Arab Saudi, termasuk projek NEOM bernilai USD 500 bilion.
Sebagaimana ditunjukkan oleh dinamik yang kompleks ini, di peringkat tempatan, serantau dan global; meskipun konflik Sudan berakhir dalam masa terdekat, ia telah pun menggugat kestabilan rantau ini, memperburuk ketegangan dalam dan antara negara-negara di sekitarnya.
Dalam paradigma Islam, kuasa geopolitik tidak hanya bergantung pada kekayaan semula jadi dan kedudukan geostrategik tetapi juga bergantung pada kekuatan kepimpinan tulen dan sistem kehidupan yang berlandaskan wahyu. Apa yang berlaku di Sudan menjadi pelajaran penting bahawa kepimpinan rakus yang dangkal serta zalim, adalah punca bencana yang menjadikan rakyat Sudan seperti makanan yang diperebutkan oleh musuh-musuh Islam.
Ingatlah sabda Rasulullah SAW: diriwayatkan daripada Tsauban RA, Rasulullah SAW bersabda:
«يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ. فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ»
“Tidak lama lagi bangsa-bangsa lain akan memanggil sesama mereka untuk menyerang kamu sebagaimana orang yang makan memanggil satu sama lain untuk berkongsi hidangan.” Lalu ada yang bertanya, “Adakah kerana bilangan kami sedikit pada hari itu?” Baginda menjawab, “Tidak, bahkan kamu ramai pada hari itu, tetapi kamu seperti buih, kotoran dan sisa di permukaan air banjir. Allah akan menghilangkan rasa takut dari hati musuhmu, dan Allah akan memasukkan ke dalam hati kamu al-wahn (kelemahan).” Salah seorang sahabat bertanya: “Apakah al-wahn itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Cinta kepada dunia dan takut akan mati.”
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Dr. Fika Komara
Ahli Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir
#sudan
#SudanCrisis