[Mafahim Islamiyyah] Metode Syarie untuk Melanjutkan Kehidupan Islam (Bahagian 2/12)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Kedaulatan dalam Darul Islam hanya milik syarak, bukan milik rakyat, penguasa, akal, atau PBB. Sedangkan ketundukan dalam Darul Islam itu hanya kepada syariat Allah Taala. Mendengar dan taat kepada penguasa adalah wajib, apabila penguasa itu menerapkan syarak Allah Taala. Jika tidak, bermakna tidak ada kewajipan mendengar dan taat kepada penguasa.
Rasulullah SAW bersabda, “Mendengar dan taat kepada penguasa itu wajib atas seorang Mduslim, baik dalam perkara yang dia suka atau benci selagi tidak diperintahkan dengan maksiat. Apabila dia telah diperintahkan dengan maksiat (oleh penguasa), maka tidak perlu mendengar dan tidak perlu taat juga.”
Sesungguhnya kehidupan itu bergantung kepada negara (dar). Kehidupan di dalam negara Islam (Darul Islam) adalah kehidupan Islam. Sedangkan kehidupan di dalam negara kufur (Darul Kufri) adalah kehidupan selain Islam. Oleh kerana itu, para pengemban dakwah, iaitu mereka yang beraktiviti untuk melangsungkan kehidupan Islam perlu memahami bahawa negara yang kaum Muslim hidup di dalamnya saat ini adalah negara kufur dan kehidupan di dalamnya adalah kehidupan selain Islam. Jika tidak, mereka tidak akan berdakwah dan beraktiviti di dalam negara itu untuk melangsungkan kehidupan Islam.
Realiti di mana kita hidup hari ini ditinjau dari sisi negara dan sisi kehidupannya esensinya sama sekali tidak ada beza berbanding realiti di mana Rasulullah SAW menjumpainya di Mekah. Keadaan saat ini juga tidak ada bezanya dengan keadaan di mana Mush’ab bin Umair menjumpainya di Madinah.
Jadi, walaupun di Mekah terdapat beberapa orang kaum Muslim, tetap dinamakan negara kufur. Begitu juga Madinah al-Munawwarah, walaupun sebelum Rasulullah SAW hijrah ke sana terdapat banyak kaum Muslim, juga tetap dinamakan negara kufur. Sebab, pada kedua negara itu tidak ditemui dua perkara secara bersamaan, iaitu hukum Islam dan keamanan berada di tangan kaum Muslim.
Kadang-kadang sebahagian orang cepat sekali memahami pendeklarasian sebahagian wilayah-wilayah di dunia Islam sebagai Negara Republik Islam dan bahawa Islam adalah sumber utama bagi dasar hukumnya. Kemudian mereka mempersoalkan mengapa negara-negara itu tidak dinamakan negara Islam? Jawapannya boleh dilihat dari realiti negara-negara itu yang telah mendakwa dirinya sebagai negara-negara Islam. Semuanya sama sekali tidak ada perbezaan dengan semua wilayah kaum Muslim yang ada, selain namanya sahaja. Sebahagian hukum-hukum yang diterapkan juga adalah tambal sulam dengan sistem-sistem buatan manusia.
Jika tidak, maka secara umum negara-negara itu menetapkan dan menerapkan undang-undang dan sistem-sistem kufur. Negara-negara itu mengakui negara-negara yang berdiri di dunia Islam. Mereka mengajak memelihara atas kemerdekaan setiap negara dan mengikatkan diri dengan undang-undang PBB dan Majlis Keselamatan PBB. Sungguh, semuanya merupakan undang-undang kufur yang telah dibuat oleh orang-orang kafir yang asalnya untuk menghancurkan Negara Khilafah pada masa Uthmaniyah.
Kemudian negara-negara pencipta pertubuhan antarabangsa itu dan negara-negara pemimpinnya terus menerus memerangi Islam dan kaum Muslim di setiap tempat. Mereka menggunakan slogan memerangi ekstremis, teroris, dan fundamentalis.
Sistem pemerintahan Islam bukanlah sistem Republik Demokrasi, bukan pula sistem kerajaan dan warisan. Sistem pemerintahan Islam hanyalah sistem Islam, tidak yang lain. Sistem Islam adalah sistem yang khas untuk negara yang khas, serta berbeza dengan sistem-sistem buatan manusia. Kaum Muslim tidak boleh membandingkannya dengan sistem buatan manusia dan tidak mentafsirkannya mengikuti hawa nafsu mereka untuk menyamakannya dengan yang lain.
Sedangkan Negara Islam adalah Negara Khilafah yang merupakan negara yang khas sebagaimana sistem yang diterapkannya juga khas. Negara Khilafah ini berdiri di atas empat dasar.
Pertama, kedaulatan di tangan syarak. Allah SWT berfirman, “Apabila terjadi perselisihan di antara kalian tentang sesuatu, maka kembalikanlah sesuatu itu kepada Allah dan Rasul-Nya jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. …”
Jadi, syarak adalah sumber rujukan tunggal dalam menghukumi berbagai aktiviti dan sesuatu, serta dalam menyelesaikan perselisihan di antara penguasa dan rakyat.
Kedua, kekuasaan berada di tangan umat. Dengan demikian, rakyatlah yang memiliki kekuasaan. Rakyat juga yang berhak membaiat khalifah sebagai wakil rakyat dalam menerapkan hukum-hukum Islam atas dasar kekuatan dan kesedarannya dalam menerapkan Islam, serta memelihara dan mengembannya ke seluruh dunia. Rasulullah SAW bersabda, “Lalu apabila datang orang lain untuk merebut kekuasaan (daripada khalifah), maka penggallah leher orang itu.”
Jelaslah bahawa rakyat yang mempunyai kekuasaan, pemerintahan, dan kekuatan. Rakyat juga yang memelihara kesatuan Khilafah dengan kekuatannya.
Ketiga, mengangkat seorang khalifah adalah fardhu. Secara syarak, kaum Muslim haram mempunyai lebih daripada seorang khalifah pada satu waktu. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila telah dibaiat dua orang khalifah, maka bunuhlah khalifah yang terakhir.”
Berdasarkan hal itu, Negara Islam haram mengakui institusi apa pun bagi kaum Muslim, selain khilafah. Bahkan ketika Negara Islam berdiri, wajib untuk menggabungkan semua negeri kaum Muslim dalam satu negara, baik melalui perang atau damai. Negara Khilafah tidak dibolehkan saling menukar para Duta Besar dengan negara-negara yang berdiri di negeri-negeri kaum Muslim, atau berhubungan dengan mereka seperti layaknya negara-negara kaum Muslim.
Keempat, khalifah satu-satunya yang berhak menerapkan hukum-hukum syarak untuk memelihara urusan kaum Muslim. Apatah lagi jika berlaku banyak ijtihad syarie dalam satu-satu masalah, khalifah akan dimintai pertanggungjawaban di hadapan Allah dan kaum Muslim tentang penerapan Islam. Hal tersebut benar-benar telah tetap berdasarkan ijmak sahabat. Dari ijmak ini diambillah kaedah-kaedah syarak yang masyhur, seperti, “Perintah imam/khalifah menghilangkan khilaf.”
“Perintah Imam/khalifah itu dilaksanakan secara zahir dan batin.”
“Bagi penguasa boleh membuat keputusan hukum sesuai dengan masalah-masalah yang terjadi.”
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.