Gelombang Protes Mendunia, Bukti Kegagalan Kapitalisme?
Gelombang protes besar-besaran telah berlaku di beberapa buah negara dari tiga benua dalam tempoh kebelakangan ini. Ribuan rakyat turun ke jalan menuntut perubahan terhadap dasar-dasar pemerintah yang dianggap merugikan masyarakat.
Protes ini dilakukan bagi menyoroti isu ekonomi, politik, hak asasi manusia, ketidakpuasan terhadap pemerintah, serta solidariti terhadap Gaza. Situasi ini menggambarkan gejolak sosial dan tekanan terhadap elit politik yang dinilai gagal memenuhi keperluan rakyat, menegakkan keadilan undang-undang, membanteras rasuah, serta mengangkat maruah dan martabat manusia. Antara negara yang menyaksikan protes besar-besaran terhadap pemerintah adalah Indonesia, Nepal, Australia, Perancis, Turkiye, Timor Leste, Filipina dan Britain.
Dunia Kebingungan
Hakikatnya, bukan hanya lapan negara tersebut yang merasakan gejolak politik. Paradoks turut dialami hampir semua manusia di dunia di bawah sistem yang wujud pada hari ini. Sistem tersebut menjanjikan kesejahteraan, namun yang berlaku adalah penderitaan; menjanjikan kesaksamaan, tetapi yang terjadi adalah ketidakseimbangan; menjanjikan kesamaan hak, tetapi realitinya wujud diskriminasi dan penindasan; menjanjikan kedamaian, tetapi yang terjadi peperangan; serta menjanjikan ketenteraman, tetapi menimbulkan kekacauan sosial.
Dunia hari ini sedang kebingungan. Resepi yang ditawarkan sebagai solusi ternyata menjadi racun berbisa yang melahirkan pelbagai masalah. Kemodenan yang diagungkan hanya menghasilkan kematian, kelaparan dan peperangan. Hanya pada zaman moden ini ratusan juta manusia di dunia mengalami kesukaran mendapatkan makanan. Kebebasan yang diagungkan telah menjatuhkan martabat manusia lebih rendah daripada haiwan. Segala resepi yang ditawarkan seperti demokrasi, hak asasi manusia dan emansipasi tidak terbukti membawa kebaikan.
Ketidakstabilan dunia pada hari ini tidak dapat dipisahkan daripada penerapan ideologi kapitalisme di bawah kepimpinan Amerika Syarikat (AS). Sejak kejatuhan Kesatuan Soviet, AS muncul sebagai satu-satunya kuasa yang menguasai dunia. Dengan ideologi kapitalismenya, AS sentiasa berusaha mempertahankan status quo sebagai satu-satunya negara yang mengawal percaturan politik global. Demokrasi dan hak asasi manusia, yang merupakan cabang daripada konsep ideologi kapitalisme, dijajakan oleh AS ke seluruh dunia sebagai alat penjajahan.
Kegagalan Kapitalisme
Pada masa ini, walaupun AS masih berkuasa, namun tidak akan mampu bertahan lebih lama akibat rapuhnya ideologi kapitalisme demokrasi. Ramai pakar mengkritik bahawa ideologi kapitalisme demokrasi merupakan ideologi yang gagal, bahkan cacat sejak kelahirannya.
Kegagalan kapitalisme global terhadap peradaban manusia disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, penerapan sistem ekonomi kapitalisme telah melahirkan ketidakseimbangan ekonomi dalam masyarakat. Laporan Oxfam pada tahun 2022 menunjukkan bahawa 1% golongan terkaya di dunia memiliki lebih daripada dua kali ganda kekayaan yang dimiliki oleh 99% populasi lainnya. Data daripada Pangkalan Data Ketidaksamarataan Dunia (World Inequality Database) juga memperlihatkan bahawa 50% penduduk termiskin hanya menerima sekitar 8% daripada jumlah pendapatan global, sementara 10% golongan terkaya menguasai hampir 52%. Angka-angka ini menunjukkan jurang yang ketara dan semakin melebar antara kelompok kaya dan miskin.
Penerapan ekonomi kapitalisme juga mengekalkan eksploitasi negara maju terhadap negara miskin. Profesor Noreena Hertz (2005) dalam bukunya The Silent Takeover menyatakan bahawa hegemoni kapitalisme global telah merampas kemerdekaan politik dan ekonomi sesebuah negara. Hegemoni ini semakin menguat pada era pendemokrasian.
Isu pendemokrasian yang dikempen oleh negara-negara kapitalis hakikatnya hanyalah helah licik untuk menahan sesebuah negara. Dalam fikiran negara kapitalis, matlamat utamanya adalah menguasai sesebuah negara, mengaut hasil sumber daya alamnya serta menjadikannya pasaran bagi produk mereka. Hutang berasaskan riba menjadi perangkap sempurna untuk menguasai sesebuah negara. Bahkan, jika perlu, negara kapitalis akan terus memberikan pinjaman sehingga negara penghutang tidak lagi mampu melunaskan hutangnya.
Kedua, sekularisme liberal telah membawa kerosakan sosial. Dalam sistem kapitalisme, ukuran kebahagiaan berlandaskan materialisme semata-mata, sehingga aspek spiritual dan sosial dalam kehidupan masyarakat diabaikan. Akibatnya, penyakit sosial semakin berleluasa, jenayah berulang tanpa penyelesaian mendasar, manakala agama hanya berfungsi sebagai pengisi dahaga spiritual peribadi.
Kapitalisme tidak mengenal persaudaraan, tolong-menolong, kasih sayang, kemurahan hati, atau amanah. Sebaliknya, ia melahirkan sifat mementingkan diri sendiri, tidak berperasaan, kebencian, penipuan, dan saling tidak mempercayai. Itulah sebabnya AS, sebagai pusat kapitalisme dunia, menjadi negara yang paling tidak menghargai maruah dan nyawa manusia. Terhadap genosid di Gaza yang dilakukan oleh Zionis Yahudi, bukannya menunjukkan simpati, AS dan negara-negara Barat malah memberikan sokongan dengan bantuan persenjataan dan kewangan. Rasa kemanusiaan seolah-olah hilang dalam hati para pemimpin itu.
Ketiga, politik kapitalisme melalui sistem demokrasi juga melahirkan kerosakan. Pendemokrasian menjadi agenda kapitalisme Barat untuk diterapkan di seluruh dunia. Dalam bukunya The Third Wave: Democratization in the Late Twentieth Century, Samuel Huntington menjelaskan bagaimana proses pendemokrasian negara-negara dijalankan.
Sedangkan, demokrasi merupakan sistem yang rapuh. Laporan utama The Guardian pada 6 Jun 2012 bertajuk British Democracy in Terminal Decline mengungkapkan fakta mengejutkan bahawa era demokrasi sedang menuju kehancuran.
Terdapat tiga indikator yang memperkukuh fenomena tersebut. Pertama, pengaruh korporat semakin dominan dalam proses membuat keputusan awam, baik di peringkat eksekutif mahupun legislatif. Kedua, semakin ramai ahli politik yang memperkaya diri sendiri serta hanya mengutamakan kelompoknya. Ketiga, penyertaan rakyat dalam pilihan raya semakin menurun sebagai lambang kekecewaan mereka terhadap sistem demokrasi. Walaupun laporan tersebut merujuk kepada Britain, realitinya fenomena serupa berlaku hampir di seluruh dunia.
Demokrasi juga memperlihatkan double standard. Contohnya, kemenangan demokrasi Parti FIS dalam pilihan raya Algeria pada tahun 1992 dibatalkan kerana Barat beranggapan bahawa ideologi yang dibawa parti tersebut mengancam kepentingan mereka. Hal serupa berulang di Mesir, apabila kudeta Jeneral Abdel Fatah al-Sisi pada tahun 2013 terhadap Presiden Mursi yang dipilih secara sah melalui demokrasi, justeru disokong oleh Barat dan terus diperkukuhkan kedudukannya hingga kini.
Kritikan terhadap demokrasi juga berkaitan dengan kecenderungannya berpihak kepada pemilik modal. Hegemoni kepentingan pelabur melalui mekanisme demokrasi inilah yang memupuk politik wang, rasuah dan pakatan sulit.
Dunia Penuh Rahmat dengan Islam
Fakta di atas menjadi bukti bahawa kapitalisme telah gagal memimpin dunia serta mengangkat martabat manusia. Dalam perjalanan sejarah, tidak ada satu pun ideologi yang mampu meninggikan martabat manusia serta menebarkan keadilan dan kesejahteraan, selain ideologi Islam.
Hal ini kerana secara i‘tiqadi, diutusnya Rasulullah SAW adalah untuk menebarkan rahmat di muka bumi. Sebagaimana firman Allah SWT:
وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَٰلَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” [TMQ Al-Anbiyaa’ (21): 107]
Bagi mewujudkan rahmat tersebut, selama 13 tahun dakwah Rasulullah SAW di Mekah bertujuan menegakkan sebuah negara (daulah) yang akan menerapkan syariat Islam secara kaffah. Pada tahun 622 Masihi, Rasulullah berhijrah ke Madinah dan berjaya membina Daulah Islam. Dengan adanya daulah ini, visi baginda memimpin dunia dengan Islam terwujud sehingga rahmat tersebar ke seluruh penjuru dunia.
Kejayaan Islam dalam memimpin dunia untuk menebarkan rahmat turut diakui oleh sejarawan Barat, antaranya Will Durant. Dalam karyanya The Story of Civilization, beliau menjelaskan mengenai kejayaan Islam dalam menjamin keamanan dunia. Menurutnya, “Para khalifah telah memberikan keamanan kepada manusia sehingga batas yang luar biasa besarnya bagi kehidupan dan usaha mereka. Para khalifah juga menyediakan peluang bagi sesiapa sahaja yang memerlukan serta memberikan kesejahteraan selama berabad-abad dalam keluasan wilayah yang tidak pernah tercatat fenomenanya selepas era mereka. Kegigihan dan kerja keras mereka menyebabkan ilmu pengetahuan tersebar luas sehingga bidang sains, kesusasteraan, falsafah, dan seni mencapai kemuncak kegemilangan, menjadikan Asia Barat sebagai wilayah paling maju tamadunnya selama lima abad.”
Tentang penyatuan umat manusia, beliau menyebut, “Agama Islam telah menguasai hati ratusan bangsa di negeri-negeri yang terbentang dari China, Indonesia, India, hingga Parsi, Syam, Jazirah Arab, Mesir, bahkan sampai ke Maghribi dan Sepanyol. Islam telah meresapi cita-cita mereka, membentuk akhlak mereka, membina kehidupan mereka, dan membangkitkan harapan di tengah-tengah mereka sehingga meringankan beban hidup serta kesusahan yang mereka tanggung. Islam telah membawa kejayaan dan kemuliaan kepada mereka.”
Dalam aspek kemajuan ekonomi, katanya, “Pada masa pemerintahan Abdurrahman III, pendapatan negara mencapai 12,045,000 dinar emas. Besar kemungkinan jumlah tersebut melebihi gabungan pendapatan negara-negara Latin Kristian pada masa itu. Pendapatan besar ini bukanlah hasil daripada cukai yang tinggi, tetapi kesan daripada pemerintahan yang baik, kemajuan pertanian, industri, serta pesatnya aktiviti perdagangan.”
Dalam menjamin kesihatan masyarakat, beliau menegaskan, “Islam telah menjamin dunia dengan mendirikan hospital yang layak serta memenuhi keperluannya. Contohnya adalah Bimaristan yang dibina oleh Nuruddin di Damsyik pada tahun 1160, yang mampu bertahan selama tiga abad untuk merawat orang sakit tanpa sebarang bayaran serta menyediakan ubat-ubatan secara percuma. Para sejarawan menyebut bahawa cahayanya tetap bersinar dan tidak pernah padam selama 267 tahun.”
Malah, bekas Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, dalam pidatonya pada 4 Jun 2009 menyatakan, “Peradaban berhutang besar kepada Islam. Islamlah — di tempat-tempat seperti Universiti Al-Azhar — yang membawa obor ilmu selama berabad-abad serta membuka jalan bagi era Kebangkitan Kembali (Renaissance) dan Zaman Pencerahan di Eropah.” (The New York Times, 4-6-2009). Demikianlah, Islam telah terbukti mampu memimpin dunia dengan adil dan sejahtera.
Peranan Pusat Khilafah
Segala pencapaian gemilang dalam peradaban Islam tidak dapat dipisahkan daripada peranan pusat Daulah Khilafah yang meneruskan kesinambungan Daulah Islam yang diwariskan oleh Rasulullah SAW. Kecemerlangan sejarah tersebut terwujud ketika umat Islam menerapkan sistem pemerintahan Khilafah yang menjadikan akidah Islam sebagai asas ideologi, serta syariat Islam sebagai hukum yang mengatur seluruh aspek kehidupan manusia. Ketiga hal ini (akidah, syariat Islam, dan Khilafah) merupakan faktor penentu lahirnya peradaban Islam yang agung.
Oleh kerana itu, sesiapa sahaja yang mengkaji ajaran dan sejarah Islam dengan teliti dan ikhlas akan mengakui bahawa Khilafah adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Para ulama salaf telah banyak membahaskan tentang keutamaan dan kewajipan menegakkan Khilafah.
Menurut Dr. Mahmud al-Khalidi dalam tesisnya di Universiti Al-Azhar, Mesir, beliau menjelaskan, “Khilafah adalah kepemimpinan umum ke atas seluruh umat Islam di dunia untuk menerapkan syariat serta mengemban dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia.” (Al-Khalidi, Qawâ‘id Nizhâm al-Hukm fî al-Islâm, hlm. 226).
Dalil kewajipan menegakkan Khilafah sebagaimana dijelaskan oleh para ulama, tercantum dalam Al-Quran, Sunnah, dan ijmak sahabat. Salah satunya adalah firman Allah SWT, “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka.” [TMQ Al-Maidah (5): 49]
Syeikh Abdullah bin Umar bin Sulaiman ad-Dumaji dalam kitabnya menjelaskan bahawa seruan ini ditujukan kepada Rasulullah SAW dan umatnya untuk segera melaksanakan hukum-hukum Allah SWT. Perintah ini bukan sekadar menegakkan pemerintahan atau kekuasaan, tetapi menegakkan imamah (Khilafah). Hal ini kerana tidak mungkin hukum-hukum Allah dapat diterapkan dengan sempurna kecuali melalui sistem Imamah/Khilafah. Oleh itu, semua ayat yang memerintahkan umat menerapkan hukum Allah SWT menunjukkan kewajipan melantik seorang imam/khalifah yang akan mengurusinya (Al-Imâmah al-‘Uzhma ‘inda Ahlus Sunnah, hlm. 48).
Berdasarkan hal ini, para ulama telah bersepakat bahawa kaum Muslimin wajib menegakkan Khilafah Islam. Imam Al-Qurthubi, seorang ulama besar mazhab Maliki, dalam tafsir QS Al-Baqarah ayat 30 menyatakan, “Ayat ini merupakan dalil paling asas mengenai kewajipan melantik seorang imam/khalifah yang wajib didengar dan ditaati, untuk menyatukan pendapat umat, serta melaksanakan hukum-hukum khalifah. Tidak ada perselisihan pendapat tentang kewajipan tersebut di kalangan umat Islam mahupun para ulama, kecuali riwayat daripada Al-A‘ṣham.” (Al-Qurthubi, Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân, 1/264–265).
Ulama lain daripada mazhab Syafie, Imam Al-Mawardi, turut menegaskan, “Menegakkan imamah (Khilafah) dalam kalangan umat merupakan kewajipan yang didasarkan pada ijmak sahabat.” (Al-Mawardi, Al-Ahkâm as-Sulthâniyyah, hlm. 5).
Ulama Nusantara, K.H. Sulaiman Rasjid (w. 1395 H), dalam karya terkenalnya Fiqih Islam, menulis, “Kaum Muslimin (ijmak yang muktabar) telah bersepakat bahawa hukum mendirikan Khilafah adalah fardhu kifayah atas seluruh umat Islam.” (Sulaiman Rasjid, Fiqih Islam, Cet. 76, Bandung: Sinar Baru Algensindo, hlm. 495).
Mengubah Dunia
Kapitalisme telah terbukti gagal, dan dunia memerlukan tatanan baru yang hanya dapat disediakan oleh Islam serta hanya dapat dilaksanakan melalui sebuah negara Islam, iaitu Khilafah. Namun demikian, negara Islam yang diwariskan oleh Rasulullah SAW telah runtuh sejak tahun 1924. Sejak saat itu, tatanan dunia digantikan dengan sistem kapitalisme yang rosak.
Oleh kerana itu, umat Islam wajib berusaha dengan segala kemampuan untuk memperjuangkan kembali tegaknya Khilafah. Lebih-lebih lagi, ramai kaum Muslim apabila mendengar dakwah yang mereka ikuti, keimanan dan kesedaran mereka tersentuh. Dengan bersandarkan Al-Quran dan Sunnah, kaul (pendapat) para ulama, serta hujah-hujah sejarah dan empirikal, penjelasan mengenai kewajipan ini terasa begitu kukuh sehingga tidak ada ruang bagi orang yang ikhlas untuk mengelak daripada turut berjuang menegakkan Khilafah.
Walau bagaimanapun, masih ramai umat yang belum memahami, salah faham, atau pemahamannya keliru tentang Khilafah. Oleh itu, amat penting untuk memahamkan dan meluruskan kefahaman mereka secara berterusan. Usaha ini memerlukan kerja keras, kerja cerdas, dan keikhlasan dalam menjelaskan idea ini kepada umat, agar semakin ramai yang dapat memahaminya dengan benar.
Memang benar, dalam dakwah pasti akan ada ancaman, cabaran, halangan, dan rintangan. Demikianlah sunnatullah. Namun, teruslah melangkah kerana masa depan Islam yang gemilang menanti, menggantikan kapitalisme yang kian menuju kehancuran.
Demikianlah janji Allah dan Rasul-Nya pasti terjadi, sebagaimana sabda Nabi SAW, “Di tengah-tengah kalian terdapat zaman kenabian. Ia ada dan atas izin Allah akan tetap ada. Lalu Allah akan mengangkat zaman itu jika Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Khilafah yang mengikuti manhaj kenabian. Ia ada dan atas izin Allah akan tetap ada. Lalu Allah akan mengangkat zaman itu jika Dia berkehendak mengangkatnya. Lalu akan ada kekuasaan yang zalim. Ia juga ada dan atas izin Allah akan tetap ada. Kemudian Allah akan mengangkat zaman itu jika Dia berkehendak mengangkatnya. Lalu akan ada kekuasaan diktator yang menyengsarakan. Ia juga ada dan atas izin Alah akan tetap ada. Kemudian akan ada kembali Khilafah yang mengikuti manhaj kenabian.”
Sumber: Muslimahnews.net
#duniaprotes #demokrasigagal #demokrasimenujukehancuran #KesatuanUmat #TegakKhilafah #khilafahPerisaiUmat