[Mafahim Islamiyyah] Kedudukan Adat dalam Undang-Undang Islam (Bahagian 4/5)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
(Sambungan dari Bahagian 3/5)
Kedudukan Syarak terhadap Urf
- Sesungguhnya ayat mulia, “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).” (TMQ Al-A’raf: 199) yang telah dijadikan saksi atas hujah urf itu sama sekali tidak ada kaitannya dengan urf. Sebabnya, ayat itu turun di Mekah, sedangkan adat istiadat dan adat kebiasaan orang Arab adalah adat jahiliah yang menyalahi Islam. Allah SWT benar-benar telah mengutus Rasul-Nya, Muhammad SAW, untuk mengubahnya. Sedangkan perintah dengan urf yang datang pada ayat itu bermakna perintah dengan perkara yang telah diturunkan Allah Taala. Ini kerana urf pada ayat itu bermakna perkara yang baik (al-hasan) dari perkataan dan perbuatan.
Adapun perkara baik dalam Islam adalah perkara yang dianggap baik oleh syarak. Perkara yang baik itu bukan perkara yang ada dari perbuatan-perbuatan jahiliah, seperti berkata buruk, menguburkan anak perempuan hidup-hidup, zina, riba, dan fanatisme kesukuan. Oleh sebab itu, Allah SWT dalam ayat di atas menuntut dari Rasul-Nya agar menyuruh mereka dengan perbuatan yang baik, seperti menyembah Allah, berbuat baik kepada kedua ibu bapa, serta menyempurnakan takaran dan timbangan.
Indikasi terhadap hal tersebut adalah firman Allah SWT pada ayat, “serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).” Ini bermakna, jauhilah setiap perkara yang berasal dari orang-orang yang bodoh, seperti menyembah berhala dan aktiviti-aktiviti mungkar. Sesungguhnya urf pada ayat tersebut adalah makruf, sedangkan makruf adalah kebalikan dari mungkar. Allah SWT berfirman, “Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” (TMQ Ali Imran: 110).
- Adapun ungkapan, “Apa saja yang dipandang sebagai perkara yang baik oleh kaum muslim, maka menurut Allah juga baik.” Ini adalah perkataan Abdullah Ibnu Mas’ud, bukan hadis Nabi, sehingga tidak dapat dijadikan hujah dalam hukum-hukum syarak. Jadi, bagaimana mungkin perkataan ini dijadikan hujah atas sumber-sumber perundangan Islam?
Perkataan itu juga tidak ada sangkut pautnya dengan urf kerana menggunakan redaksi, “Apa saja yang dipandang sebagai perkara yang baik oleh orang-orang muslim”, tidak menggunakan redaksi, “Apa saja yang telah dikenal dan dibiasakan oleh orang-orang muslim”. Sesungguhnya urf adalah kebiasaan masyarakat yang telah berjalan lama. Urf tidak menggunakan redaksi, “Apa saja yang telah dianggap oleh orang-orang muslim sebagai perkara yang baik”. Sebabnya, mereka adalah orang-orang muslim yang selalu mengembalikan hukum kepada Islam dalam anggapan baik dan buruk terhadap perbuatan dan segala sesuatu, bukan kepada adat istiadat.
- Aktiviti-aktiviti yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW yang terdiri daripada adat istiadat dan adat kebiasaan pada zaman jahiliah, seperti syirkah mudarabah (transaksi usaha bagi hasil), istishnad’ (pertukangan), dan sebahagian transaksi jual beli (buyuu’) , seperti transaksi salam (pesanan), maka mengambilnya termasuk mengambil dalil syarak, iaitu penetapan (taqrir) Rasulullah SAW kepadanya, bukan mengambil urf. Ini kerana penetapan Rasulullah SAW terhadap suatu aktiviti adalah dalil syarak atas kebolehan aktiviti itu.
Ini dengan memperhatikan juga bahawa sesungguhnya Islam tidak menetapkan banyak perkara daripada adat istiadat dan kebiasaan orang Arab dan bukan Arab, seperti riba, meminum arak, tawaf di sekitar Kaabah dalam keadaan bertelanjang, dan menjual dengan melempar batu (baiul hashoh).
Rasulullah SAW juga bersabda tentang orang Parsi, “Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan pemerintahannya kepada perempuan.” Ini bermakna bahawa Nabi SAW mengharamkan menyerahkan urusan pemerintahan kepada perempuan, walaupun telah membolehkan kaum perempuan untuk menjadi qadhi atau anggota majlis As-Syura (majlis musyawarah).
Atas dasar penjelasan di atas, wajib menundukkan urf yang bersifat perbuatan, iaitu adat istiadat dalam masyarakat kepada hukum syarak. Adat istiadat yang bersandar pada dalil syarak, dapat kita ambil dan kerjakan. Bukan kerana ia adat istiadat dan kebiasaan, tetapi kerana adat itu mempunyai dalil dari syarak. Sedangkan adat istiadat dan kebiasaan yang tidak bersandar pada dalil syarak, kita buang dan tinggalkan. Sesungguhnya syarak memutuskan bahawa wajib bagi setiap muslim untuk mengikatkan semua aktivitinya dengan perintah-perintah Allah dan larangan-larangan-Nya, bukan dengan adat/urf.
Hukum asal dalil-dalil syarak yang global, yakni dalam sumber perundangan adalah wahyu Allah SWT yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan sesuatu yang tecermin dari kitab dan sunnah. Keduanya adalah dua dalil dasar dalam perundangan Islam. Semua yang telah ditetapkan dari jalan keduanya dengan ketetapan yang pasti bahawasanya ia merupakan sumber perundangan, seperti ijmak sahabat dan qiyas, maka kita ambil. Kita perlu mengikatkan diri dengan hukum-hukum yang bersumber darinya.
Sebaliknya, semua yang tidak diterapkan dari kitab dan sunnah secara pasti, tetapi dari sumber perundangan seperti urf dan syariat umat sebelum kita, maka kita hendaklah meninggalkan dan tidak mengikatkan diri dengannya.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #Urf #HukumSyarak #Adat