Ibadah: Satu-Satunya Tujuan Hidup Manusia
Oleh: KH. Rokhmat S. Labib
Allah ﷻ berfirman: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” [TMQ adz-Dzariyat (51): 56]
Beribadah kepada Allah merupakan satu-satunya tujuan hidup manusia. Sebab, dalam ayat ini tujuan tersebut diungkapkan dalam bentuk qashr. Iaitu adanya nafiyy (penafian) yang disertai dengan istitsnâ’ (pengecualian). Sehingga, ayat ini meniadakan tujuan lain dari adanya manusia selain beribadah kepada Allah ﷻ dan membatasi tujuan seluruh keberadaannya hanya untuk beribadah kepada-Nya. Tujuan tersebut berlaku secara umum kepada semua jin dan manusia. Sebab, huruf al-alif wa al-lâm pada kata al-jin dan al-insa bermakna li al-istighrâq (menunjukkan makna keseluruhan).
Secara bahasa, kata al-‘ibâdah bermaksud merendahkan diri, ketundukan, dan kepatuhan. Ibadah bukan sekadar tunduk, namun puncak ketundukan, sehingga tidak ada yang berhak atasnya kecuali Zat yang memiliki puncak keutamaan dan kemuliaan, iaitu Allah ﷻ. Ringkasnya, ibadah merupakan ketundukan mutlak dan ketaatan yang sempurna, memerlukan pelakunya tidak ada pilihan kecuali taat kepada pihak yang diibadahi.
Sedangkan secara istilah, kata ibadah tidak jauh berbeza dengan makna bahasanya. Ibadah dalam pengertian umum bermaksud ketaatan terhadap segala perintah dan larangan Allah ﷻ dalam syariat-Nya. Kerana cakupan syariat Islam mengatur semua interaksi manusia, baik menyangkut hubungan manusia dengan Tuhannya, dengan orang lain, dan dengan diri sendiri, maka cakupan ibadah juga merangkumi semua aspek kehidupan. Apa sahaja amalan perbuatan yang dilakukan oleh seorang mukmin, selagi masih berada dalam koridor syariah-Nya, ia dianggap sebagai ibadah.
Selain mempunyai makna umum, kata ibadah juga mempunyai makna khusus. Ibadah dalam pengertian khusus adalah perintah dan larangan dalam syariah yang mengatur hubungan antara manusia dengan Tuhannya. Amalan yang biasa dikategorikan para fuqaha’ sebagai ibadah adalah solat, zakat, puasa, haji, dan jihad. Tentulah yang dimaksud ayat ini bukan pengertian secara khusus, namun pengertian ibadah secara umum.
Sumber: Tafsir Ayat Pilihan Al-Wa’ie