Pesanan kepada Anak Muda Kita: Jangan Takut kepada Mereka
Kita sedang hidup dalam zaman yang semakin xenofobia. Ramai dalam kalangan masyarakat arus perdana semakin bermusuhan terhadap mereka yang dianggap sebagai orang luar di negara-negara Barat. Kita dapat melihat hal ini melalui kebangkitan demonstrasi besar-besaran menentang imigresen di UK dan Australia. Kita melihatnya juga apabila kerajaan Kanada menarik balik komitmennya untuk meningkatkan imigresen akibat rasa tidak puas hati yang semakin memuncak terhadap dasar tersebut. Dan ia semakin ketara di pusat kuasa besar global, di mana Parti Republikan di Amerika Syarikat tampak berundur secara retorik dari pentas dunia dan mengangkat idea “etnonasionalisme.” Kita membaca banyak berita tentang pihak ICE (Immigration and Customs Enforcement) menangkap sesiapa sahaja yang “kelihatan” asing, atau yang dianggap tidak setia, atau tidak cukup produktif untuk Amerika Syarikat.
Malah di Kanada, kita melihat kumpulan sayap kanan memperjuangkan idea “re-migrasi/penghijrahan semula,” serta membantah dengan tujuan menyukarkan hidup para pendatang supaya mereka kembali ke negara asal. Walaupun protes sebegini tidak kerap dan kurang mendapat sambutan, ia tetap mencerminkan sentimen yang wujud dalam masyarakat Kanada.
Tidak dapat dielakkan, umat Islam turut menjadi sasaran kemarahan yang kian meningkat ini. Di AS, warganegara Muslim yang dipilih sebagai wakil rakyat turut dipersoalkan kewarganegaraannya, dan satu naratif sedang berkembang bahawa umat Islam sukar berintegrasi dan mempunyai ideologi yang agresif serta invasif.
Sebagai sebuah komuniti, apakah yang harus kita fahami tentang situasi yang semakin berbahaya ini di negara-negara Barat, dan bagaimana harus kita menghadapinya?
Merenung ke dalam Jurang
Memahami realiti baru ini amat penting. Mudah sahaja untuk melabel orang sebagai rasis atau penuh prasangka, tetapi itu tidak membuka peluang untuk memberi pengaruh atau kesan yang bermakna kepada mereka. Kita perlu memahami bahawa peningkatan sentimen perkauman ini merupakan hasil semula jadi daripada keadaan sosial yang sedang mereka hadapi. Keresahan ekonomi meningkat ke tahap yang membebankan apabila rakyat biasa tidak mampu memenuhi keperluan asas hidup. Dahulu, keadaan ini mungkin dapat diimbangi oleh keyakinan terhadap kerajaan atau institusi awam, atau keterikatan terhadap nilai politik sekular-liberal, namun kini semakin ramai menyedari betapa tidak bermaknanya institusi dan nilai tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Yang tinggal ialah masyarakat yang sangat dipolitikkan tetapi berasa tidak berdaya untuk menangani isu-isu yang mereka pedulikan, sama ada tentang kos sewa dan barangan runcit, pemilikan rumah, perlindungan alam sekitar, atau menamatkan genosid di Gaza.
Dalam ketiadaan sistem yang menjaga keperluan rakyat, atau satu set nilai yang memberi makna kepada kesusahan yang mereka tanggung, masyarakat semakin cenderung kepada pemikiran anti-penubuhan (anti-establishment). Ini membawa kepada peningkatan keganasan politik, sebagaimana dilihat dalam pembunuhan CEO UnitedHealthcare oleh Luigi Mangione, atau baru-baru ini pembunuhan pempengaruh konservatif, Charlie Kirk. Tetapi, ramai juga cenderung kepada populisme tertentu yang mempersalahkan pendatang sebagai punca kerosakan institusi kerajaan dan awam. Dan akan sentiasa ada ahli politik yang mementingkan diri, yang sanggup menjadikan minoriti sebagai kambing hitam demi kepentingan politik mereka—seperti perdana menteri Quebec dan partinya.
Yang kita hadapi kini ialah sebuah masyarakat yang nihilistik, saling tidak mempercayai, dan semakin berpecah, di mana sebahagian daripadanya bersatu atas dasar kebencian terhadap mereka yang dianggap asing. Dan sebagai Muslim, yang amalan serta komitmen kepada agama sering kali terlihat jelas, kita boleh menjangkakan untuk turut menjadi sasaran.
Jangan Takut kepada Mereka
Tujuan memahami peningkatan politik berasaskan kebencian di negara-negara Barat bukanlah untuk sekadar analisis akademik. Sebaliknya, ia menjadi peringatan kepada diri kita, khususnya generasi muda, agar tidak bergerak daripada posisi ketakutan. Walaupun kita mungkin merasakan tekanan untuk meninggalkan agama kita, tunduk kepada golongan nasionalis, atau membuktikan betapa kita sudah berasimilasi sebagai hujah menangkis kefanatikan mereka.
Walaupun penting untuk menunjukkan rasa syukur atas kebaikan masyarakat sekeliling dan mereka yang ikhlas terhadap kita, kesetiaan sejati kita ialah kepada Pencipta kita, dan kepada risalah yang diturunkan-Nya. Dengan kata lain, kita tidak boleh membiarkan ketakutan terhadap manusia menyebabkan kita meninggalkan ketaatan kepada Tuhan.
Tambahan pula, kita sedar bahawa politik penuh kebencian yang kita hadapi bukanlah lahir daripada budaya yang sihat. Ia muncul daripada budaya Barat yang berpecah, terpesong, dan dipenuhi keganasan.
Mengapa pula kita harus mengambil nilai politik yang menolak Tuhan, mengagungkan individualisme melampau, menggalakkan ketagihan terhadap pemilikan dan keseronokan, serta memupuk kebencian sesama manusia? Seperti mana Musa (AS) bertanya kepada Bani Israel:
“Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? [TMQ AL Baqarah (2): 61]
Satu Jalan ke Hadapan
Daripada berusaha mencari cara menunjukkan kepatuhan kepada budaya dominan, kita sepatutnya melihat situasi ini sebagai peluang untuk memberikan kejelasan moral dan menunjukkan jalan kepada masyarakat yang hilang panduan. Kita adalah sebuah komuniti yang telah diamanahkan dengan risalah terakhir yang menyeluruh dari Pencipta, yang menerangi setiap aspek kehidupan, tingkah laku peribadi, hubungan dan masyarakat. Daripada merasa wajib untuk menyesuaikan diri, kita sepatutnya merasa wajib untuk menyampaikan cahaya ini yang telah diberikan kepada manusia.
Walaupun masyarakat di sekeliling kita marah, kadang-kadang kepada kita secara khusus, namun mereka juga sangat menyedari tentang kebankrapan intelektual dan spiritual masyarakat mereka. Dengan berinteraksi secara berani tetapi ikhlas, kita dapat membantu mereka mengalihkan kemarahan ke arah punca sebenar masalah mereka: sebuah sistem ekonomi yang gagal memenuhi keperluan mereka tetapi memperkayakan elit politik dan korporat; sebuah sistem sosial yang memuja individualisme sehingga melahirkan masyarakat yang dilanda kesunyian, konflik gender dan krisis kesihatan mental; serta sebuah sistem politik yang lebih mengutamakan jentera perang global yang menghancurkan tubuh kanak-kanak dan keluarga di Gaza daripada kebajikan dan pendidikan anak-anak.
Akhirnya, masyarakat di sekeliling kita, secara asasnya ialah masyarakat yang baik hati, dan berulang kali menunjukkan penolakan terhadap xenofobia dan kebencian seperti di tempat lain. Sokongan yang besar kepada pelarian Syria dan Ukraine di Kanada misalnya membuktikan hal ini. Lebih baru-baru ini, protes besar-besaran setiap minggu bagi mempertahankan Palestin menjadi bukti yang lebih jelas lagi. Kita berhutang kepada mereka untuk menyampaikan kebenaran.
Apa yang Harus Dilakukan?
Pertama sekali, kita perlu memperkukuh diri dalam agama. Kita tidak boleh menjadi komuniti yang membawa panduan ini jika kita sendiri belum menghayatinya. Kita perlu meluangkan masa untuk memahami dalil intelektual Islam dan memastikan kita tidak menyimpan sebarang keraguan. Kita kemudian perlu memperdalam pemahaman tentang asas-asas agama, sekurang-kurangnya sehingga kita mampu bertindak dengan betul dalam kehidupan peribadi, hubungan dan muamalat. Dan kita perlu secara kolektif mempelajari sistem dan institusi Islam untuk menunjukkan bagaimana ia menyelesaikan masalah yang dicipta oleh Kapitalisme dan “kebebasan” yang didakwa.
Akhir sekali, kita perlu menghubungkan diri dengan perjuangan global untuk menghidupkan kembali sistem Islam di tanah-tanah Muslim. Tiada cara yang lebih baik untuk menunjukkan penyelesaian sebenar kepada masalah masyarakat selain daripada mempraktikkannya. Kelemahan, korupsi dan kekacauan yang melanda dunia Islam (akibat penguasa yang mengkhianati dan sistem yang menindas) merupakan salah satu sebab utama manusia tidak mempertimbangkan risalah kita. Hanya apabila kepimpinan Islam yang benar muncul di dunia Islam barulah kita dapat menggunakan sumbernya untuk menegakkan keadilan serta membela umat. Dan hanya melalui autoriti ini kita dapat melindungi dan menyampaikan risalah Islam kepada dunia, mengajak seluruh manusia untuk hidup di bawah bimbingan dan rahmatnya. Semoga Allah SWT menjadikan kita sebahagian daripada kemenangan itu.
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.” (TMQ Al-Maaidah [5]:54)
#xenophobia #stopxenophobia