[Berita & Komentar]
Wanita Sumatera: Bukan Sekadar Mangsa Banjir
Berita:
Bencana banjir di Pulau Sumatera telah meragut 1,071 nyawa setakat 19 Disember, menurut Abdul Muhari, Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana di Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia. Dalam situasi bencana, wanita dan kanak-kanak sering menjadi mangsa berganda akibat kelemahan struktur, termasuk pengabaian keperluan kesihatan reproduktif wanita. Lembaga Bantuan Hukum (LBH) Banda Aceh menegaskan bahawa dalam setiap bencana, wanita secara konsisten merupakan kelompok yang paling terjejas namun paling tidak kelihatan—satu pola yang sekali lagi terbukti dalam krisis semasa. Di tengah-tengah usaha tindak balas kecemasan, LBH telah membantu satu kes gangguan seksual yang melibatkan seorang pelajar perempuan yang mencari perlindungan, sekaligus menonjolkan bagaimana keganasan berasaskan jantina semakin meningkat walaupun ketika situasi kecemasan.
Selain menjadi mangsa banjir, wanita Sumatera juga dieksploitasi oleh ketamakan kapitalisme, khususnya dalam industri kelapa sawit berskala besar. Setakat Julai 2025, kira-kira 16.2 juta pekerja terlibat dalam sektor kelapa sawit Indonesia, dengan wanita menyumbang di seluruh rantaian bekalan—daripada hulu hingga hiliran. Selama lebih tiga dekad, sekitar 4.9 juta wanita bekerja sebagai buruh harian kasual (BHL), melaksanakan tugas-tugas fizikal yang berat seperti pembajaan, penyemburan racun perosak, penanaman dan merumput. Pekerjaan ini mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan dan keselamatan yang serius, serta ancaman keganasan seksual, terutamanya memandangkan lokasi ladang kelapa sawit yang terpencil dan terasing.
Industri minyak kelapa sawit merupakan pemacu utama penebangan hutan di Sumatera, dengan kehilangan hutan diunjurkan melebihi 7 juta hektar menjelang 2023. Kemusnahan alam sekitar ini bukan sahaja meningkatkan risiko bencana hidrometeorologi, malah mencetuskan krisis sosial yang mendalam melalui eksploitasi terhadap jutaan wanita. Analisis oleh Pasukan Kewartawanan Data Kompas mendapati bahawa sepanjang 34 tahun lalu, hutan di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat telah menyusut sebanyak 1.2 juta hektar—hampir 100 hektar hilang setiap hari selama tiga dekad. Dalam tempoh yang sama, jutaan wanita Sumatera menanggung kos kemusnahan ini melalui eksploitasi dalam industri kelapa sawit.
Komentar :
Banyak amaran telah dikemukakan tentang bahaya berganda naratif toksik “pemerkasaan wanita ala kapitalis,” yang pada hakikatnya hanya berkhidmat kepada kepentingan oligarki kapitalisme. Banjir Sumatera pada awal Disember 2025 sekali lagi mendedahkan kepada dunia bahawa wanita Sumatera adalah mangsa eksploitasi berganda oleh kapitalis perindustrian, dalam jangka pendek mahupun jangka panjang.
Sumatera telah menjadi tapak utama kapitalisme sempadan—sebuah sempadan baru di mana kapitalisme berkembang untuk mengumpul keuntungan dengan mengekstrak sumber asli, mengkomoditikan dan mengeksploitasi tenaga kerja, tubuh dan ruang sosial wanita, serta mengubah pelbagai aspek kehidupan wanita. Christian Lund, dalam Nine-Tenths of the Law, mengenal pasti Sumatera Utara dan Aceh sebagai contoh klasik wilayah sempadan yang sentiasa dibentuk semula oleh peluasan komoditi global, daripada perladangan dan perhutanan era kolonial hingga kepada industri kelapa sawit dan infrastruktur tenaga kontemporari. Sepanjang tempoh dua dekad lalu, sempadan ini telah mencapai bentuk paling agresifnya melalui pengembangan pesat industri kelapa sawit. Berjuta-juta hektar hutan telah ditebang, tanah gambut dikeringkan, dan kawasan tadahan air yang penting ditukar guna.
Oleh itu, janji-janji kesejahteraan untuk wanita Sumatera—yang dibingkaikan melalui galakan untuk bekerja sebagai jalan keluar daripada kemiskinan dan sebagai bentuk pemerkasaan—bukan sahaja palsu, malah sangat manipulatif. Naratif kemakmuran ini adalah ilusi kerana menyembunyikan realiti bahawa sistem ekonomi kapitalis pemangsa yang mengeksploitasi hutan Sumatera itu sendiri merupakan pemacu utama kemiskinan dan ketidakberdayaan wanita secara sistematik, baik di peringkat tempatan mahupun global.
Di bawah sistem ini dan dasar-dasar yang mengekalkannya, jutaan wanita Sumatera akan terus menanggung kesukaran ekonomi yang teruk, sama ada mereka mengambil bahagian dalam buruh bergaji atau tidak. Mereka kekal sebagai mangsa berganda ketamakan pemodal.
Sebagaimana firman Allah SWT:
﴿ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ﴾
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” [TMQ Ar-Rum (30): 41]
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Dr. Fika Komara