[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 32/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari Bahagian 31/46)
Asas Penentuan Upah
Namun demikian, perbezaan antara jual beli dan upah (ijarah) serta perbezaan antara harga dan upah tidak bererti kedua-duanya tidak mempunyai sebarang hubungan. Maksudnya ialah, transaksi upah tidak dibina di atas transaksi jual beli, begitu juga transaksi jual beli tidak dibina di atas transaksi upah . Oleh yang demikian, harga tidak boleh ditentukan berdasarkan penetapan kadar upah, dan upah tidak boleh ditentukan berdasarkan penetapan harga.
Jika upah ditetapkan berdasarkan harga barang, ini akan menyebabkan harga barang yang dihasilkan oleh tenaga pekerja menjadi penentu kepada upah yang diterimanya. Sedangkan harga barang ditentukan oleh pihak yang mengupah, bukan oleh pekerja. Jika harga barang dijadikan dasar penentuan upah, maka pihak majikan akan bebas menaikkan atau menurunkannya atas alasan turun naik harga pasaran, dan ini adalah sesuatu yang tidak dibenarkan.
Ini kerana upah adalah imbalan terhadap manfaat kerja, dan nilainya diukur mengikut kadar manfaat tersebut sebagaimana dinilai dalam pasaran umum bagi manfaat yang sama. Maka upah tidak boleh dikaitkan dengan harga barang yang dihasilkan.
Tidak boleh dikatakan bahawa penurunan harga barang yang dihasilkan oleh pekerja akan menyebabkan kerugian kepada pihak yang mengupah, lalu membawa kepada pemberhentian pekerja. Dakwaan sedemikian tidak boleh dijadikan alasan, kerana keadaan seperti itu dalam jangka pendek hanyalah gambaran tindakan yang bersifat sewenang-wenangnya.
Harga barang mungkin turun pada bulan tertentu kerana penawaran yang banyak, dan mungkin naik pada bulan berikutnya apabila penawaran berkurangan. Jika pihak yang mengupah menaikkan atau menurunkan upah pekerja atas alasan turun naiknya harga barang, maka bererti kadar upah ditentukan mengikut kehendak majikan berdasarkan perubahan harga. Dengan itu pekerja berada di bawah belas ihsan pihak yang mengupah, dan keadaan seperti ini merupakan bentuk penguasaan yang tidak dibenarkan.
Tambahan pula, kenaikan atau penurunan harga tidak memberi kesan terhadap pemilik ladang atau kilang dalam jangka pendek, dan ia juga tidak menyebabkan mereka menanggung kerugian. Oleh itu, isu kerugian dalam keadaan sebegini tidak timbul sama sekali.
Kesan hanya berlaku apabila penurunan harga terjadi terhadap sesuatu barang di seluruh pasaran, atau apabila penurunan berlaku ke atas semua jenis barang dalam pasaran tempatan. Kedua-dua keadaan ini tidak menghasilkan kesan kecuali dalam jangka panjang. Pada ketika itulah kerugian boleh berlaku, dan risiko pemberhentian pekerja dari kilang menjadi sesuatu yang mungkin.
Adapun dalam jangka pendek, penurunan harga tidak menimbulkan kerugian sama sekali. Begitu juga, kerugian tidak berlaku sekiranya harga sesuatu barang turun hanya di satu negara tetapi tidak di negara lain. Kerugian juga tidak berlaku jika penurunan harga hanya melibatkan sebahagian barang dan bukannya semua barang dalam pasaran tempatan.
Namun, sekiranya kerugian berlaku terhadap sesuatu barang di seluruh pasaran sekalipun dalam jangka panjang, keadaan itu tetap tidak memberi kesan kepada kadar upah secara umum. Kesan tersebut hanya berkaitan dengan kos pengeluaran barang tersebut, sehingga mungkin membawa kepada pemberhentian pekerja. Dalam situasi ini, pekerja masih boleh mendapatkan pekerjaan di ladang atau kilang lain, dan kerana itu kadar upah umum dalam pasaran tidak terjejas.
Apabila penurunan harga berlaku ke atas semua barang dalam seluruh pasaran tempatan atau dalam pasaran keseluruhan, maka berlakulah penurunan harga secara umum dalam pasaran. Secara alami , keadaan ini akan membawa kepada penurunan kadar upah nasional secara keseluruhan. Penurunan yang berlaku ini menjejaskan pekerja sebagai satu kategori (jenis pekerja), bukan individu tertentu secara khusus.
Maka, pasaran umum bagi sesuatu baranglah yang menentukan harganya, dan pasaran umum bagi manfaat tenaga pekerjalah yang menentukan kadar upah. Adapun kesan terhadap pasaran manfaat tenaga kerja akibat perubahan dalam pasaran barang terjadi kerana kedua-duanya menggunakan piawaian nilai yang sama sebagai ukuran.
Situasi ini sebanding dengan kesan yang berlaku ke atas kedua-dua pasaran; barang dan tenaga kerja apabila nilai mata wang yang menjadi ukuran bagi kedua-duanya jatuh atau meningkat. Hal ini tidak bererti bahawa kadar upah terikat dengan harga barang. Maksudnya ialah, apabila harga barang dalam pasaran umum menurun dalam jangka panjang, maka pasaran manfaat tenaga kerja turut terkesan.
Namun demikian, kesan tersebut tidak menunjukkan adanya pertalian yang menjadikan penentuan salah satunya bergantung pada penentuan yang lain, sama ada bagi satu jenis barang mahupun semua barang sekaligus. Ia hanyalah bentuk pengaruh yang muncul dalam keadaan tertentu, iaitu apabila penurunan harga berlaku dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, tidak wajar menetapkan kadar upah berdasarkan harga barang. Sebaliknya, upah hendaklah ditentukan melalui penilaian pakar terhadap pasaran umum manfaat tenaga kerja, berdasarkan kajian dan pengamatan mereka terhadap realiti pasaran tersebut.
Maka, penentuan upah tidak dibuat secara langsung berdasarkan kesan perubahan pasaran barang terhadap pasaran manfaat tenaga pekerja. Ia juga tidak bergantung pada harga barang, bahkan tidak pula bergantung pada keseluruhan keadaan pasaran barang. Sebaliknya, kadar upah ditentukan semata-mata melalui penilaian pakar terhadap pasaran umum manfaat tenaga kerja. Justeru, pasaran manfaat tenaga pekerja-lah yang menentukan kadar upah.
Di samping itu, pembinaan transaksi upah berdasarkan transaksi jual beli, serta transaksi jual beli berdasarkan transaksi upah, akan menyebabkan penentuan kos sara hidup bergantung kepada kadar upah pekerja. Hakikatnya,kos sara hidup hanya berkaitan dengan tahap kecukupan hidup pekerja, bukan penentu kepada kadar upah.
Jika kos sara hidup dijadikan asas penetapan upah, maka beban menanggung kecukupan hidup pekerja, iaitu nafkah yang mencukupinya akan jatuh ke atas majikan. Sedangkan keperluan hidup individu adalah sebahagian daripada urusan pemeliharaan rakyat, dan tanggungjawab itu terletak pada negara, bukan pada majikan.
Tidak boleh sama sekali mengaitkan kecukupan hidup dengan hasil kerja, kerana seorang pekerja mungkin sahaja lemah tubuh badannya dan hanya mampu menghasilkan sedikit, sedangkan keperluannya tetap wujud dan mungkin tidak tercukupi. Jika upah ditentukan berdasarkan jumlah pengeluaran atau kadar keperluan hidup, maka pekerja boleh terhalang daripada mencapai kehidupan yang sejahtera, dan keadaan demikian adalah tidak dibenarkan.
Hak untuk hidup wajib dijamin bagi setiap individu di bawah naungan negara, sama ada penghasilannya banyak atau sedikit, atau sama ada dia mampu bekerja ataupun tidak. Oleh itu, kadar upah mestilah ditetapkan berdasarkan nilai manfaat kerjanya, sama ada kadar tersebut mencukupi keperluan hidupnya atau tidak.
Tambahan lagi , adalah menjadi satu kesalahan untuk menetapkan upah seorang pekerja berdasarkan harga barang yang dihasilkannya atau berdasarkan nilai keperluan-keperluan yang diperlukannya. Seterusnya ,menjadi satu kesalahan juga apabila menjadikan transaksi upah dibina atas transaksi jual beli atau menjadikan transaksi jual beli dibina atas transaksi upah; maka tidak boleh membina salah satu daripadanya berdasarkan yang lain
Oleh itu, tidak wajar menetapkan harga berdasarkan kadar upah, dan tidak wajar menetapkan kadar upah berdasarkan harga. Penentuan upah adalah satu hal, sementara penentuan harga adalah hal yang berbeza; masing-masing ditentukan oleh faktor serta pertimbangan tersendiri yang mempengaruhi nilai keduanya.
Selama upah tidak dibina atas dasar harga, dan harga tidak dibina atas dasar upah, maka tidak sah menjadikan hasil pengeluaran pekerja sebagai asas penetapan kadar upah. Oleh itu, upah tidak boleh ditentukan berdasarkan kadar hasil pengeluarannya, sama ada dari segi kuantiti mahupun kualiti kerana upah tidak diasaskan pada pengeluaran, dan pengeluaran tidak diasaskan pada upah; kedua-duanya juga tidak mempunyai pertalian penentu antara satu sama lain.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #SumberTenaga #Upah #Gaji