RAMADHAN BULAN TARBIYAH “TUBUH UMAT”
Penulis: Farisha Aris
Islam menuntut umatnya agar saling berkasih sayang dan membantu apabila sebahagian daripada mereka berdepan kesukaran. Umat Islam dianjurkan untuk menjaga hak sesama Muslim serta saling mengambil berat antara satu sama lain. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi adalah seperti satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit, maka seluruh tubuh turut merasai demam dan tidak dapat tidur.” (HR Muslim, no. 2586)
Demikianlah istimewanya hidup dalam masyarakat Islam. Setiap Muslim ibarat satu jasad yang saling terhubung. Kita tidak akan membiarkan anggota tubuh yang sakit tanpa rawatan; demikian juga kita tidak boleh membiarkan saudara seagama terkontang-kanting, dizalimi atau menderita sendirian. Jika mereka tertekan oleh pelbagai beban kehidupan, maka menjadi tanggungjawab kita untuk membantu, kerana hakikatnya orang-orang beriman itu bersaudara.
Kapitalisme dan Cabaran Identiti Muslimah
Realitinya, umat Islam hari ini berdepan dengan pelbagai konflik kehidupan yang menjerat, khususnya dalam aspek ekonomi domestik dan institusi keluarga. Tekanan kos sara hidup yang meningkat saban tahun memaksa ramai keluarga bekerja tanpa henti, malah ada yang terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan demi memastikan kelangsungan hidup.
Sistem ekonomi moden yang berasaskan pertumbuhan material sering menilai produktiviti manusia hanya dari sudut sumbangan ekonomi, tanpa mengambil kira peranan pendidikan keluarga dan pembinaan moral. Dalam suasana ini, sebahagian ibu dan isteri terpaksa keluar bekerja demi membantu suami menampung keperluan keluarga.
Namun, apabila kedua-dua ibu bapa sibuk mengejar tuntutan ekonomi, anak-anak sering terdedah kepada pengaruh negatif tanpa bimbingan yang mencukupi. Gejala sosial seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah dan keruntuhan akhlak menjadi semakin membimbangkan. Dilema para ibu bukanlah sesuatu yang remeh; memilih untuk kekal di rumah demi pendidikan anak-anak atau keluar bekerja bagi membantu kewangan keluarga adalah keputusan yang sukar.
Dalam wacana moden, wanita yang tidak bekerja sering dilabel sebagai tidak produktif terhadap ekonomi negara. Persepsi ini sedikit demi sedikit meminggirkan peranan wanita sebagai ibu dan pengurus rumah tangga. Namun demikian, tidak semua wanita bekerja demi mengejar status kerjaya; sebahagiannya sebenarnya mengimpikan untuk menjadi ummu wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga), tetapi terpaksa keluar bekerja demi memenuhi tuntutan hidup yang semakin mendesak. Inilah antara “sakit” yang perlu dirawat dalam tubuh umat.
Mengembalikan Peranan yang Teras
Dalam Islam, wanita mempunyai kedudukan yang mulia sebagai ibu dan pengurus rumah tangga. Peranan ini bukan sekadar norma budaya, tetapi amanah yang datang daripada Allah SWT. Seorang ibu ialah pencetak generasi; di tangannyalah dibentuk akidah, akhlak dan jati diri anak-anak yang kelak menjadi pemimpin masa hadapan. Generasi yang diharapkan ialah generasi yang memimpin dengan ketakwaan serta berpegang teguh kepada hukum Allah SWT.
Apabila pendidikan keluarga terabai, kesannya bukan sahaja dirasai oleh sebuah rumah tangga, bahkan oleh seluruh umat. Justeru, peranan wanita sebagai pendidik tidak boleh dipandang ringan. Ia adalah asas kepada kekuatan umat secara keseluruhan.
Wanita Mulia sebagai Ejen Perubahan
Sebagai anggota masyarakat, wanita Muslimah tidak hanya berperanan dalam ruang domestik, tetapi juga dalam membentuk suasana sosial yang Islami. Dengan akhlak yang baik, contoh teladan dan keprihatinan terhadap urusan masyarakat, Muslimah boleh menjadi ejen perubahan yang membawa kebaikan kepada persekitarannya.
Dalam batas syarak dan dengan hikmah, Muslimah berperanan menyumbang kepada pembaikan masyarakat melalui pendidikan, nasihat dan dakwah. Dakwah bukan sekadar aktiviti formal, tetapi usaha berterusan untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Persoalannya, sejauh manakah kesedaran ini benar-benar tertanam dalam diri Muslimah?
Ramadhan: Bulan Tarbiyah dan Perubahan
Ramadhan adalah momentum terbaik untuk melakukan perubahan. Ia bukan sekadar musim ibadah, tetapi madrasah pembentukan jiwa. Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [TMQ al-Baqarah: 183]. Firman “…agar kamu bertakwa” menunjukkan bahawa Ramadhan ialah madrasah pembentukan takwa sebagai asas pembinaan masyarakat. Perubahan yang dilakukan pada bulan ini tidak seharusnya bersifat sementara, tetapi berterusan sepanjang tahun.
Sepanjang Ramadhan, kita menahan diri daripada makan dan minum kerana ketaatan kepada Allah SWT. Latihan ini mendidik jiwa untuk tunduk sepenuhnya kepada perintah-Nya. Allah SWT berfirman: “Tidaklah patut bagi lelaki Mukmin dan perempuan Mukminat, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka.” [TMQ al-Ahzab: 36]. Inilah tarbiyah Ramadhan yang membentuk ketundukan kepada syariat secara menyeluruh, bukan hanya dalam ibadah ritual, tetapi dalam seluruh aspek kehidupan.
Ramadhan juga membentuk syakhsiyah Islamiyah, iaitu keperibadian yang menjadikan Islam sebagai asas berfikir dan bertindak. Setiap Muslimah perlu memastikan dirinya dan keluarganya memiliki keperibadian ini. Pendidikan anak-anak adalah tanggungjawab yang tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada institusi luar. Sama ada bekerja atau tidak, seorang ibu mesti memiliki visi yang jelas untuk melahirkan generasi Muslim yang beriman dan berakhlak.
Selain itu, Ramadhan mendidik kita untuk peka terhadap keadaan umat. Kewajipan zakat fitrah mengingatkan bahawa setiap Muslim mempunyai tanggungjawab terhadap Muslim yang lain. Ia melatih kita agar tidak hanyut dalam budaya individualistik dan materialistik.
Khatimah
Hari ini, umat Islam umumnya dan Muslimah khususnya berdepan cabaran besar berupa tekanan ekonomi, krisis keluarga dan normalisasi sekularisme dalam kehidupan harian. Kita sering terperangkap dalam dilema sehingga mengabaikan tanggungjawab asas, malah ada yang menyempitkan Islam hanya kepada urusan ibadah ritual semata-mata, sedangkan Islam adalah agama yang mengatur seluruh aspek kehidupan.
Justeru, al-Quran dan Sunnah mesti kembali menjadi pegangan utama agar Muslimah tidak hanyut dalam arus kehidupan yang rosak. Dari rumah yang hidup dengan al-Quran, lahirlah generasi yang akan menguatkan kembali tubuh umat. Di sinilah besarnya peranan Muslimah dalam menyumbang kepada pemulihan umat melalui pendidikan dan dakwah agar masyarakat kembali kepada fitrahnya.
Wallahu a‘lam bis-sawab.
#MuslimahIdeal #MasyarakatMuslimIdeal #MuslimahEjenPerubahan #Ramadhan #MasyarakatQurani