Jadilah Penolong Dakwah Rasulullah SAW
Oleh: Ustaz Irfan Abu Naveed, M.Pd.I; (Penyelidik Balaghah al-Quran & Hadits Nabawiyyah)]
Risalah dakwah Rasulullah SAW ialah risalah yang agung. Rahmatnya melangkaui dimensi ruang dan masa. Ia tidak terbatas kepada sesuatu kaum, dan juga tidak terbatas pada suatu masa tertentu. Allah SWT menegaskan sifat risalah Rasulullah SAW.
وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا كَآفَّةٗ لِّلنَّاسِ بَشِيرٗا وَنَذِيرٗا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ (٢٨)
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad SAW) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai rasul pembawa berita gembira kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” [TMQ Sabaa (34):28]
Dalam mentafsirkan ayat ini, al-’Allamah al-Syaikh Nawawi al-Bantani (w.1316 H) menyatakan:
“Tidaklah Kami mengutus engkau, wahai sebaik-baiknya makhluk, melainkan kepada seluruh umat manusia, yakni kepada seluruh manusia secara umum, untuk mencegah manusia daripada kekufuran, sebagai pembawa khabar gembira tentang syurga (Jannah) bagi sesiapa yang beriman kepada Allah SWT, dan sebagai pemberi peringatan tentang azab neraka bagi orang yang kufur kepadaNya.”
Akan tetapi, kebanyakan manusia tidak mengetahui,’ yakni mereka tidak mengetahui keumuman risalah baginda dan kedudukannya sebagai pembawa khabar gembira serta pemberi peringatan, disebabkan kelalaian kebanyakan manusia itu sendiri, bukan kerana adanya kesamaran.
Teladan Para Sahabat Rasulullah SAW
Allah SWT menggambarkan keadaan Rasulullah SAW dan para pendukung dakwah baginda:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ (٦٢)
“Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang beriman” [TMQ al-Anfaal (8):62]
Al-‘Allamah Syeikh Ali al-Shabuni (w.1442H) menjelaskan dalam Shafwat at-Tafasir [m/s 477]: “Maksudnya: Dialah yang menolong kamu dengan pertolonganNya dan dengan orang-orang yang beriman.”
Istilah al-mu’minin dalam ayat ini berbentuk ism al-fa‘il. Ini menunjukkan bahawa keimanan itu melekat pada diri orang-orang tersebut.
Para ulama tafsir menjelaskan bahawa al-mu’minīn yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah golongan beriman daripada kaum Aus dan Khazraj. Mereka menjadi kelompok dakwah yang kukuh, yang dipersaudarakan oleh Islam.
Al-‘Allamah al-Qadhi Taqiyuddin al-Nabhani (w.1397H) dalam Al-Dawlah Al-Islamiyyah menjelaskan bahawa pada fasa awal dakwah, Rasulullah SAW membentuk satu kelompok dakwah yang terdiri daripada 40 orang, lelaki dan wanita, dengan pelbagai latar belakang dan peringkat usia. Kebanyakannya ialah golongan pemuda belia. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang lemah dan yang kuat, yang kaya dan yang miskin.
Mereka semua memainkan peranan penting dalam dakwah. Status sosial dan ekonomi tidak menghalang keazaman mereka untuk menegakkan Islam. Bukan hanya daripada kalangan para sahabat senior. Malah semua sahabat dengan kepelbagaian potensi mereka menyokong dakwah Nabi Muhammad SAW.
Dalam peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah, misalnya, tercatat nama besar Abu Bakar al-Siddiq RA [TMQ at-Taubah (9):40]. Beliau berkorban di jalan Allah dengan menemani perjuangan hijrah Rasulullah SAW.
Turut disebut ialah Amir ibn Fuhairah RA. Dengan keberaniannya, beliau mengerahkan seluruh daya upayanya untuk menyokong perjalanan hijrah yang bersejarah tersebut. Amir menghapuskan jejak-jejak kaki Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA, serta membekalkan makanan dan keperluan perjalanan. Beliau juga bersenandung:
«لقد وجدت الموتَ قبلَ ذَوْقِهِ # إنَّ الجُبْنَ حَتْفُهُ مِن فوقِهِ»
“Sesungguhnya aku telah menemukan kematian sebelum aku merasakannya.
Sesungguhnya rasa takut (sifat pengecut) itu adalah kematian yang datang dengan sendirinya.”
«كلُّ امرئٍ مُجاهِدٌ بِطَوْقِهِ # كالثَّورِ يَحْمِى جِلْدَهُ بِرُوقِهِ»
“Setiap orang berjuang sesuai dengan potensinya, bagaikan seekor lembu yang mempertahankan dirinya dengan tanduknya.”
Menariknya, diriwayatkan bahawa ketika Amir ibn Fuhairah RA gugur syahid dalam peristiwa Bi’r Ma’unah, jasadnya tidak pernah ditemukan kerana diangkat ke langit oleh para malaikat.
Ada juga Haram ibn Milhan RA Beliau mengumumkan kemenangannya di hadapan pembunuhnya, Jabbar ibn Sulma, ketika ditikam dengan tombak dalam peristiwa Bi’r Ma’unah. Peristiwa itu kemudian menjadi jalan hidayah bagi Jabbar bin Sulma untuk memeluk Islam. Beliau berkata:
“Sesungguhnya yang membawa aku kepada agama Islam ialah ketika aku telah menikam seorang lelaki dengan tombak di antara kedua bahunya. Aku melihat mata tombak itu menembusi dadanya. Aku mendengar dia berkata, ‘Demi Tuhan Kaabah (Allah), aku telah beruntung!’ Aku bertanya dalam hati, apa yang membuat dia beruntung? Bukankah aku telah membunuh dia? Lalu aku bertanya kepada orang-orang mengenai ucapannya beberapa ketika setelah peristiwa itu. Mereka menjawab, “Keberuntungannya adalah mati syahid.” Lalu aku berkata, “Demi Allah! Dia benar-benar beruntung!”
Keteladanan para sahabat lahir dari seorang pembimbing (musyrif) mereka iaitu Rasulullah SAW. Baginda sememangnya paling layak untuk diteladani oleh para pengemban dakwah. Salah satu prinsip asas Rasulullah SAW adalah mendidik dan membina para sahabat agar konsisten, komitmen pada Islam, akidah dan syariahnya seawal dari mereka memeluk Islam, tanpa menunda-nunda, tanpa kompromi, dan tanpa syarat.
Kisah keislaman Abdullah ibnu Salam RA dan para sahabatnya daripada kalangan Ahlul Kitab Yahudi yang diajar tentang keseluruhan dalam Islam merupakan gambaran pembinaan Rasulullah SAW. Allah SWT dalam Quran, [TMQ Al-Baqarah (2): 208], memerintahkan mereka agar memasuki Islam secara kaffah (menyeluruh). Syeikh ‘Atha bin Khalil Abu ar-Rasytah dalam At-Taysir fî Ushul at-Tafsir, menjelaskan bahawa Ibnu Abbas RA berkata:
“Ayat ini diturunkan berkenaan dengan Abdullah bin Salam dan para sahabatnya. Ketika mereka beriman kepada Rasulullah SAW, mereka masih berpegang pada sebahagian syariat Nabi Musa AS, seperti mengagungkan hari Sabtu dan tidak memakan daging unta serta tidak meminum susunya.”
Kemudian kaum Muslimin menegur mereka dan berkata, “Kami mampu melakukan ini dan itu.” Lalu mereka menyampaikan hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Maka Allah pun menurunkan firmanNya:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” [TMQ Al-Baqarah (2): 208]
Maksudnya, sesiapa yang telah memeluk Islam hendaklah masuk sepenuhnya ke dalam Islam. Dia tidak boleh lagi mengikuti syariat lain, kerana Islam telah menghapuskan syariat-syariat sebelumnya, sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran,
“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya,” [TMQ Al-Maidah (5): 48]
Menjadi Penolong Dakwah Rasulullah SAW
Jadilah penolong dakwah Rasulullah SAW dalam usaha menegakkan Din-Nya.
فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ مَعَهُۥٓ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٥٧
“Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.” [TMQ Al-A’raaf (7): 157]
Dari Abu Said al-Khudri RA Seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah SAW, apakah thuba (kebaikan) bagi orang yang menjumpai dirimu dan beriman kepadamu?” Rasulullah SAW bersabda:
«طُوبَى لِمَنْ رَآنِي وَآمَنَ بِي وَطُوبَى، ثُمَّ طُوبَى لِمَنْ آمَنَ بِي وَلَمْ يَرَنِي»
“Kebaikan bagi orang yang menjumpai diriku dan beriman kepadaku, dan kebaikan, kemudian kebaikan bagi orang yang beriman kepadaku walaupun dia tidak pernah menjumpai diriku.” [HR. Ibnu Hibban].
Rasulullah SAW juga bersabda:
«ولا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ»
“Akan senantiasa ada sekelompok dari umatku yang tegak di atas perintah Allah SWT. Tidak membahayakan mereka sesiapa pun yang mencela atau menyelisihi mereka, sehingga datang keputusan Allah, dan mereka akan meraih kemenangan atas manusia.” [Muttafaqun ‘alayhi]
Wallahu a’lam.
#Dakwah #DakwahRasulullahSAW #PolitikIslam #JamaahIslamiyah #GerakanIslam