Ramadhan 10H: Pengutusan Ali bin Abi Thalib Membuka Pintu Hidayah Penduduk Yaman
Penulis: Arini Retnaningsih
Ramadhan, bulan yang mulia ini bukan sekadar waktu untuk beribadah. Ramadhan juga adalah bulan perjuangan, bulan pembuktian iman dan bulan turunnya hidayah. Ketika pintu-pintu langit dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu, hidayah Allah tersebar ke seluruh alam. Tinggal manusia sahaja, sama ada mahu membuka hati untuk meraih keberkatan Ramadhan ataupun tidak.
Detik mulia ini tidak dilepaskan oleh Rasulullah SAW. Pada Ramadhan tahun 10H, sebagaimana diriwayatkan dalam kitab Sirah Nabawiyah karya Ibnu Hisyam, baginda SAW memanggil Ali bin Abi Thalib dan mengutusnya ke Yaman. Sebelum itu, baginda SAW telah mengutus Khalid bin Walid ke Yaman untuk mengajak penduduknya memeluk Islam, namun mereka belum menerima dakwah tersebut.
Kemudian, Rasulullah SAW mengutus Ali bin Abi Thalib RA menggantikan Khalid serta memerintahkan agar mereka yang bersama Khalid kembali, kecuali sesiapa yang ingin tetap bersama Ali. Hal ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
Peristiwa ini menunjukkan kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam berdakwah. Apabila baginda melihat Khalid bin Walid menghadapi penolakan, baginda tidak memaksanya memerangi penduduk Yaman. Rasulullah SAW memahami situasi bahawa penduduk Yaman adalah golongan yang hanif, cuma mereka memerlukan pendekatan yang mampu menyentuh hati mereka.
Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنه سيأتي قوم تحقرون أعمالكم إلى أعمالهم
“Sesungguhnya akan datang suatu kaum yang kamu akan merasa rendah apabila membandingkan amalan kamu dengan amalan mereka.”
Para sahabat bertanya, “Adakah mereka kaum Quraisy, wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab,
لا و لكن هم أهل اليمن
“Bukan, mereka adalah penduduk Yaman.”
Ali bin Abi Thalib menceritakan tentang pengutusannya ke Yaman:
“Rasulullah SAW mengutusku ke Yaman sebagai hakim. Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, engkau mengutusku kepada suatu kaum sedangkan aku masih muda dan belum berpengalaman dalam memutuskan perkara.”
Baginda SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah akan memberi petunjuk kepada hatimu dan meneguhkan lidahmu. Jika dua orang yang berselisih duduk di hadapanmu, maka janganlah engkau memutuskan perkara sehingga engkau mendengar daripada pihak yang satu lagi sebagaimana engkau mendengar daripada yang pertama. Dengan cara itu, lebih layak bagimu mengetahui keputusan yang benar.”
Ali berkata, “Selepas itu, aku tidak pernah ragu dalam memutuskan sesuatu perkara.” [HR Ahmad dan Abu Daud]
Walaupun Ali bin Abi Thalib RA adalah menantu Rasulullah SAW, namun bukan kerana hubungan itu baginda mengutusnya. Rasulullah SAW melihat potensi yang ada pada diri Ali – kecerdasannya yang digelar “kunci ilmu”, kebijaksanaannya serta keteguhannya. Pelantikan ini bukanlah nepotisme seperti yang sering berlaku dalam masyarakat hari ini, apabila pemimpin mengangkat ahli keluarga atau kenalan rapat tanpa kelayakan. Sebaliknya, penugasan Ali adalah keputusan yang matang dan berasaskan kemampuan.
Al-Bara’ bin Azib RA yang turut mendampingi Ali di Yaman meriwayatkan bahawa Ali ditugaskan menyampaikan surat Rasulullah SAW kepada penduduk Yaman [HR Bukhari].
Walaupun tiada riwayat yang menjelaskan isi surat itu secara terperinci, pelbagai riwayat dalam kitab sirah dan hadis menyatakan bahawa intinya adalah seruan kepada tauhid, ajakan memeluk Islam, serta penjelasan kewajipan zakat dan ketaatan kepada utusan Nabi SAW.
Pengiriman surat melalui para utusan atau duta kepada para pemimpin negara menjadi salah satu bukti bahawa Rasulullah SAW meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang setara dengan para pemerintah negara lain.
Ini bermakna baginda bukan sekadar membangunkan masyarakat di Madinah sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak, tetapi baginda turut membina sebuah negara serta melaksanakan urusan dan aktiviti kenegaraan.
Ali bin Abi Thalib RA berangkat bersama 300 orang sahabat pilihan. Mereka menempuh perjalanan jauh menuju Yaman dengan penuh semangat dan ketaatan. Ramadhan tidak melemahkan mereka, kerana iman yang teguh serta keyakinan terhadap ganjaran besar yang Allah sediakan bagi amal soleh di bulan mulia ini.
Setibanya di Yaman, Ali berdakwah dengan kelembutan dan hikmah. Beliau mengajak penduduk setempat memeluk Islam secara damai. Dalam beberapa keadaan, beliau juga menyelesaikan perselisihan antara kabilah yang masih berpegang kepada tradisi lama. Dengan kebijaksanaannya, satu demi satu masalah berjaya diselesaikan.
Penduduk Yaman yang menyaksikan akhlak serta kepimpinan Ali bin Abi Thalib RA akhirnya menerima Islam dengan penuh kegembiraan. Ramai dalam kalangan mereka mengucapkan syahadah dan menyerahkan diri kepada aturan Islam.
Mereka melihat bahawa negara yang dibangunkan atas dasar Islam berbeza daripada negara-negara lain. Kuasa-kuasa besar biasanya menundukkan negeri lain melalui penjajahan dan mengenakan cukai yang tinggi, sedangkan Islam membawa pendekatan yang berbeza. Islam menawarkan persamaan hak dan kewajipan bersama kaum Muslimin, memberikan perlindungan, serta mewujudkan kemakmuran melalui pelaksanaan hukum-hukum syarak di wilayah yang berada di bawah pemerintahannya.
Islam benar-benar menzahirkan rahmatan lil ‘alamin – rahmat bagi seluruh alam pada setiap waktu dan di mana sahaja.
Dalam kitab Al-Bidayah wa an-Nihayah Jilid 5, Ibnu Katsir meriwayatkan bahawa Ali RA membacakan surat Rasulullah SAW kepada penduduk Yaman dan mengajak mereka memeluk Islam. Mereka menerimanya dengan baik, bahkan kabilah Hamdan memeluk Islam seluruhnya hanya dalam masa satu hari [HR Bukhari].
Ali RA kemudian mengirim surat kepada Rasulullah SAW memaklumkan pengislaman kabilah Hamdan. Baginda pun bersujud syukur dan bersabda,
“Salam sejahtera atas Hamdan, salam sejahtera atas Hamdan.” [HR Bukhari – dikuatkan Al-Hakim dalam kitab Al-Mustadrak Jilid 3].
Setelah menyempurnakan tugasnya, Ali RA kembali dan bergabung bersama Rasulullah SAW di Mekah ketika baginda menunaikan Haji Wada’.
Muhammad Rawwas Qal’ahji dalam kitab Sirah Nabawiyah: Sisi Politik Perjuangan Rasulullah SAW (2018) menceritakan bahawa delegasi Hamdan dari Yaman telah datang menemui Rasulullah SAW ketika baginda dalam perjalanan pulang dari Tabuk bagi menyatakan ketaatan mereka kepada aturan Islam.
Rasulullah SAW kemudian mengutus beberapa orang guru untuk turut bersama mereka bagi mengajarkan ajaran Islam. Baginda juga mengirimkan sepucuk surat yang menerangkan hak dan kewajipan mereka sebagai Muslim. Dengan itu, sempurnalah kemasukan Islam ke bumi Yaman.
Demikianlah Ramadhan sebagai bulan yang mulia, bulan yang dilipatgandakan pahala bagi setiap amal soleh. Bulan yang penuh keberkatan ini sewajarnya menjadi pendorong semangat untuk kita berusaha lebih bersungguh-sungguh dalam perjuangan meninggikan Islam.
Inilah saat terbaik untuk mengingatkan umat tentang perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat dalam membangunkan sebuah negara yang menerapkan hukum-hukum Allah secara menyeluruh dan sempurna.
#KisahRamadhan #Yaman #IslamdiYaman #Dakwah #JihadFiisabilillah #AlibinAbiThalib #KisahSahabat #NegaraIslam #InspirasiRamadhan