[Persepsi Berbahaya] Fundamentalisme (Bahagian 2/2)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari “Fundamentalisme” Bahagian 1/2.)
Islam ialah agama unik yang berbeza dengan agama-agama samawi lain. Islam ialah agama samawi terakhir dan penghapus agama samawi sebelumnya. Allah SWT telah menjamin pemeliharaan Islam sebagaimana diturunkannya sehingga Hari Kiamat nanti. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar menjaganya.” [TMQ Al-Hijr (15): 9].
Keunikan lainnya, Islam ialah suatu ideologi yang menyeluruh dan sempurna. Ideologi Islam didasarkan pada akidah yang dibangun atas dasar akal. Kemudian ideologi ini melahirkan peraturan hidup yang menyeluruh untuk mengatasi segala masalah kehidupan manusia sehingga Hari Kiamat. Tidak ada kesan bahawa Islam itu lemah dalam memberikan keterangan hukum syariat untuk apa-apa pun masalah yang akan dihadapi manusia.
Allah SWT telah berfirman, “Kami telah menurunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) sebagai penjelas segala sesuatu.” [TMQ An-Nahl(16): 89].
Kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi yang pernah ditunjukkan Dunia Islam dahulu ialah hasil penerapan Islam dalam kehidupan, bukan hasil daripada proses sekularisasi (pemisahan agama Islam daripada kehidupan). Kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi yang ada di dunia kini seharusnya berhutang budi kepada para ulama Islam. Ini kerana mereka telah merumuskan pelbagai teori dan hukum yang mendasar di bawah naungan kehidupan Islam dan Daulah Islamiah.
Atas dasar itu, predikat fundamentalisme yang disandarkan pada Islam dan gerakan-gerakan Islam, sebagaimana disandarkan pada gerakan Kristian, ialah predikat yang salah dan berat sebelah. Predikat ini tidak sesuai dengan fakta ajaran Islam dan orang-orang yang berjuang mengembalikan Islam dalam kehidupan.
Ini kerana mereka ialah orang-orang yang justeru berusaha untuk mengubah realiti kehidupan kaum Muslim yang buruk akibat daripada penerapan sistem buatan manusia dalam kehidupan. Ini jelas bertolak belakang dengan aktiviti gerakan-gerakan fundamentalis Kristian yang berusaha mengekalkan pola kehidupan orang Kristian sebelum era Kapitalisme, baik secara formal mahupun mendasar.
Dengan demikian, predikat fundamentalisme yang diberikan Amerika dan Eropah kepada gerakan-gerakan Islam tidak lain ialah untuk memerangi kembalinya Islam dalam kehidupan. Ini sememangnya masalah yang strategik, bahkan sangat penting bagi Barat. Oleh sebab itu, mereka sangat bercita-cita untuk mempertahankan Dunia Ketiga, khususnya negeri-negeri Islam, sebagai dunia yang terbelakang dan jauh daripada kebangkitan yang hakiki.
Tujuannya ialah untuk menghalang kembalinya negara Khilafah yang akan mencabut sistem kehidupan mereka dari akar-akarnya, serta menghancurkan ketamakan dan keserakahan mereka. Dengarlah kesaksian salah seorang daripada mereka, seorang penyelidik pelawat (visiting researcher) di Universiti Harvard untuk Kajian-Kajian Timur Tengah. Dalam sebuah memorandum yang disampaikannya kepada Kongres Amerika, ia menyatakan, “Kaum fundamentalis memandang bahawa syariat wajib diterapkan dengan segala perinciannya dan bahawa penerapan tersebut bersifat mengikat bagi seluruh kaum Muslim. Islam ialah sumber asasi bagi kekuatan mereka. Mereka juga memandang bahawa syariat Islam layak diterapkan pada masa sekarang, sebagaimana layak diterapkan pada masa lampau.”
Ia mengatakan pula, “Kaum fundamentalis sangat membenci tamadun Barat. Mereka menganggap bahawa tamadun Barat ialah penghalang terbesar yang menghambat penerapan syariat Islam.”
Seorang peneliti Amerika yang lain, iaitu John L. Esposito, dalam sebuah memorandum yang disampaikannya kepada Kongres Amerika mengatakan, “Sebenarnya yang mengancam kepentingan-kepentingan Amerika ialah para fundamentalis Muslim.”
Walhasil, fundamentalisme yang mereka serang sesungguhnya ialah usaha untuk menerapkan semula syariat Islam dalam kehidupan. Andaikata memang inilah yang dimaksudkan dengan fundamentalisme, maka kaum Muslim, menurut pengertian Barat tersebut, hakikatnya ialah kaum fundamentalis.
Alasannya, kaum Muslim kini dengan penuh semangat sedang merindukan penerapan seluruh hukum Islam di bawah naungan Negara Khilafah yang akan menyelamatkan mereka. Bahkan, Khilafah akan menyelamatkan dunia daripada jurang penderitaan akibat Kapitalisme menuju kebajikan Islam.
Allah SWT berfirman, “Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedangkan dia diajak kepada agama Islam? Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir membencinya.” [TMQ As-Saff(61): 7-8].
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Persepsi-Persepsi Berbahaya untuk Menyerang Islam dan Mengukuhkan Peradaban Barat
#PersepsiBerbahaya #Fundamentalisme #PeradabanBarat #Orientalis #Kapitalisme