Sahabat al-Quran
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
RASULULLAH SAW bersabda, ”Bacalah oleh kalian al-Quran. Sungguh al-Quran itu akan menjadi syafaat (penolong) bagi para sahabatnya pada Hari Kiamat kelak.” (HR Ahmad).
Rasulullah SAW juga bersabda, “Al-Quran kelak akan menjadi pembela atau pendakwamu.” (HR Muslim).
Kalimat ini singkat, tetapi sangat menggetarkan. Al-Quran bukan sekadar bacaan neutral. Ia boleh menjadi sahabat yang membela kita atau pendakwa yang memberatkan kita. Semuanya bergantung pada bagaimana hubungan kita dengan al-Quran. Akrab atau asing. Dekat atau sekadar melafazkannya di bibir.
Bagi seorang Mukmin, al-Quran sejatinya bukan seperti sebuah buku yang hanya disimpan di atas rak. Al-Quran hendaklah menjadi sahabat dalam perjalanan hidupnya. Ia ibarat cahaya di lorong yang gelap; seperti kompas di tengah kebingungan; dan cermin yang jujur. Sesiapa yang bersahabat dengan al-Quran, jiwanya akan dibentuk oleh al-Quran. Sebaliknya, sesiapa yang menjauhkan diri daripada al-Quran akan dibiarkan meraba-raba dalam kegelapan.
Rasulullah SAW adalah al-Quran yang berjalan. Ketika Aisyah ra apabila ditanya tentang akhlak baginda, dia menjawab, “Akhlak baginda adalah al-Quran.” (HR Muslim).
Maksudnya, al-Quran bukan sekadar dibaca oleh Nabi SAW, tetapi hidup dalam ucapan, sikap, keputusan, air mata dan doa-doa baginda. Inilah teladan yang paling agung: menjadikan al-Quran sebagai akhlak peribadi dalam kehidupan seharian. Bukan sekadar bacaan.
Sahabat Abu Bakar as-Siddiq ra dikenali sebagai seorang yang lembut hatinya. Ketika membaca al-Quran dalam solat, beliau sering teresak-esak sehingga suaranya dapat didengari oleh orang-orang di sekelilingnya. Bahkan kaum Quraisy pernah mengeluh kerana bacaan Abu Bakar yang penuh tangisan itu “mengganggu” hati mereka (Lihat: Ibn Katsir, Al-Bidâyah wan-Nihâyah, 3/79). Bagi beliau, al-Quran bukan teks mati, tetapi mesej langsung daripada Allah yang mengetuk relung hati yang paling dalam.
Sahabat yang lain, Umar bin al-Khattab ra, memeluk Islam bukan kerana perdebatan yang panjang, tetapi kerana satu ayat al-Quran yang menusuk jauh ke dalam hatinya. Ketika itu, beliau diperdengarkan kepada firman Allah (yang bermaksud): Sesungguhnya Aku ini Allah. Tidak ada tuhan selain Aku. Maka sembahlah Aku (TMQ Taha [20]: 14). Seketika tubuhnya menggigil. Kesombongannya pun runtuh. Daripada ayat itulah lahirnya sosok Umar yang baharu. Seorang yang teguh imannya. Tegas dalam keadilan dan lembut dalam takut kepada Allah (Lihat: Ibn Hisyam, As-Sîrah an-Nabawiyyah, 1/366).
Sahabat Uthman bin Affan ra juga mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan al-Quran. Beliau dikenali sebagai seorang yang sering mengkhatamkan al-Quran setiap malam. Beliaulah yang tegas berkata, “Andai hati kita bersih, nescaya ia tidak akan pernah kenyang daripada membaca al-Quran.” (Lihat: Abu Nu’aim, Hilyah al-Awliyâ’, 1/61). Kalimat ini seperti cermin bagi kita. Jika kita berasa malas membaca al-Quran, pastinya bukan kerana al-Quran yang kurang menarik, tetapi kerana hati kita yang telah menjadi gelap. Terlalu kotor dipenuhi dengan dosa-dosa.
Al-Quran bukan sekadar dibaca, bahkan isinya juga hendaklah difahami. Berkenaan hal ini, Ali bin Abi Thalib ra pernah berkata, “Ketahuilah, tidak ada kebaikan dalam ibadah tanpa pemahaman, dan tidak ada kebaikan dalam membaca al-Quran tanpa tadabbur.” (Lihat: Ad-Darimi, Sunan ad-Dârimi, 1/70).
Sudah tentu al-Quran bukan hanya untuk dibaca dan difahami, malah al-Quran juga wajib diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan.
Generasi tabi’in turut mewarisi hubungan rohani yang sangat akrab dengan al-Quran. Antaranya ialah Said bin Zubair ra. Beliau lazimnya mengkhatamkan al-Quran setiap dua malam. Bahkan pada sepuluh malam terakhir Ramadhan, beliau mengkhatamkan al-Quran setiap malam (Lihat: Adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubalâ’, 4/321). Apa yang lebih mengagumkan bukanlah jumlah khatamnya, tetapi kekhusyukan dan rasa takutnya ketika membaca ayat-ayat azab.
Seterusnya ialah Imam Abu Hanifah ra. Diriwayatkan bahawa beliau mengkhatamkan al-Quran sebanyak 61 kali sepanjang bulan Ramadhan. Sebanyak 30 kali pada waktu siang dan 30 kali pada waktu malam dan sekali lagi pada malam Aidilfitri (Lihat: Al-Makki, Manâqib Abi Hanîfah, 1/161). Namun, al-Quran tidak menjadikan beliau sombong. Sebaliknya, beliau dikenali seorang yang sangat warak, lemah lembut dan takut berfatwa tanpa ilmu.
Teladan seterusnya ialah Imam Malik bin Anas ra, setiap kali hendak membaca al-Quran atau hadis Nabi SAW, beliau terlebih dahulu mandi, memakai pakaian yang terbaik dan duduk dengan penuh wibawa. Ketika ditanya mengapa beliau berbuat demikian, beliau menjawab, “Aku ingin mengagungkan Kalam Allah.” (Lihat: Ibn Abd al-Barr, Al-Intiqâ’, hlm. 35). Bagi beliau, al-Quran bukanlah bacaan biasa. Ia adalah tetamu agung yang mesti disambut dengan adab.
Teladan berikutnya ialah Imam Ahmad bin Hanbal ra. Beliau pernah membaca berulang-ulang sepanjang malam satu ayat al-Quran (yang bermaksud): Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu (TQM al-Maidah [5]: 118). Beliau menangis sehingga pagi tanpa beralih kepada ayat yang lain (Lihat: Ibn al-Jauzi, Manâqib al-Imam Ahmad, hlm. 187). Inilah persahabatan yang sejati dengan al-Quran: berhenti, terdiam, lalu rebah di hadapan satu ayat al-Quran.
Demikianlah. Al-Quran membentuk siang dan malam mereka; air mata dan amal mereka. Berhubung dengan hal itu, Imam Hasan al-Bashri ra berkata, “Demi Allah, orang sebelum kalian tidak menganggap al-Quran sebagai bacaan huruf-hurufnya sahaja, tetapi sebagai amanah yang perlu diamalkan.” (Lihat: Al-Ajurri, Akhlâq Ahl al-Qur’ân, hlm. 41).
Menjadikan al-Quran sebagai sahabat bererti membawa al-Quran bersama, sama ada dalam waktu sunyi mahupun berada di tengah keramaian. Ia menemani kita ketika lemah, menegur saat kita lalai dan menguatkan kita ketika hampir jatuh. Menjadikan al-Quran sebagai pedoman pula bererti membiarkan ayat-ayatnya membetulkan setiap pilihan hidup kita, meskipun hal itu terasa berat bagi hawa nafsu kita.
Jika hari ini al-Quran terasa jauh, mungkin bukan kerana ia menjauh, tetapi kerana kita yang jarang menyapanya dengan hati. Jika ayat-ayatnya tidak lagi menggugah jiwa, mungkin kerana kita terlalu sering membacanya tanpa kehadiran jiwa kita.
Kesimpulannya, barangkali apa yang paling kita perlukan pada hari ini bukanlah metode cepat mengkhatamkan al-Quran, tetapi hati yang mahu duduk lama bersama al-Quran. Membiarkan al-Quran berbicara kepada kita. Membiarkan al-Quran menegur kita dan membiarkan al-Quran membimbing kita.
Yakinlah, al-Quran tidak akan pernah mengkhianati sahabatnya. Sebaliknya, kitalah yang sering meninggalkan al-Quran. Kadangkala sampai berbulan-bulan. Begitu mudah tanpa sedikit pun beban di hati.
Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh.
#Quran #Kitabullah #SahabatQuran #Muhasabah