Apakah itu akhlak?
Akhlak adalah bahagian daripada syariat Islam, bahagian daripada perintah dan larangan Allah. Akhlak adalah sifat yang perlu dimiliki seorang Muslim bagi menyempurnakan pengamalannya terhadap Islam.
Secara bahasa, akhlak berasal daripada kata al-khuluq yang bermaksud kebiasaan dan tabiat. Sedangkan secara istilah, akhlak adalah sifat-sifat yang diperintahkan Allah kepada seorang Muslim untuk dimiliki tatkala dia melaksanakan berbagai aktivitinya. Sifat-sifat akhlak ini tampak pada diri seorang Muslim jika dia melaksanakan berbagai aktiviti —seperti ibadah, muamalah dan sebagainya— secara benar.
Misalnya, sifat lembut tampak pada diri seorang pengemban dakwah tatkala dia melakukan diskusi dengan masyarakat. Allah berfirman (maksudnya):
“Maka kerana rahmat Allah, engkau (Muhammad) bersikap lemah lembut terhadap mereka, sekiranya engkau bersikap kasar dan berkeras hati, sudah tentu mereka menjauhkan diri daripada sekitarmu…” [TMQ Ali ‘lmran (3): 159]
Sikap berani akan tampak ketika seseorang melakukan muhasabah terhadap penguasa yang zalim. Rasulullah ﷺ bersabda:
Pemuka para syuhada adalah Hamzah dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim kemudian dia menasihatinya, lantas penguasa itu membunuhnya.
Sifat sabar dan menguatkan kesabaran (mushâbarah) juga tampak tatkala menanggung derita dan tatkala menghadapi musuh. Allah ﷻ berfirman (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu…” [TMQ Ali ‘lmran (3): 200]
Selain itu, ada juga sifat akhlak lainnya yang diperintahkan oleh Allah untuk dimiliki setiap Muslim, di antaranya adalah sifat ‘iffah (menahan diri daripada melakukan perkara maksiat), dermawan, tawadhuk, dsb.
Tetapi, ada juga beberapa sifat tercela yang dilarang oleh Islam, di antaranya adalah berdusta, hasud, zalim, menipu, riak, malas, penakut, membicarakan orang lain (ghibah), dan sebagainya. Allah ﷻ berfirman (maksudnya):
“…Dan daripada kejahatan orang yang hasud… “ [TMQ al-Falaq (113): 5]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah, malas, takut, lupa, dan bakhil (kedekut).”
Sumber: “Dirâsât fî al-Fikr al-Islâmiy” (Muhammad Husain Abdullah)
#akhlak #nafsiyah #sifatterpuji #muslimideal