Tolok Ukur Kemiskinan Menurut Islam
Islam memandang kemiskinan dengan tolok ukur yang sama bagi setiap manusia di negeri mana pun dan pada generasi mana pun. Kemiskinan dalam pandangan Islam adalah tidak terpenuhinya keperluan-keperluan primer secara menyeluruh. Syariat telah menetapkan keperluan primer ini ke dalam 3 perkara, iaitu: makanan, pakaian, dan tempat tinggal.
Antara dalilnya adalah firman Allah ﷻ dalam QS al-Baqarah [2]: 233, QS. at-Talaq [65]: 6, dan sabda Nabi ﷺ
Dalam HR Ibnu Majah:
“Ingatlah, hak mereka ke atas kamu adalah kamu memperlakukan mereka secara baik dalam hal pakaian dan makanan mereka.”
Ertinya, keperluan primer yang jika tidak terpenuhi maka dikategorikan sebagai miskin adalah makanan, pakaian dan tempat tinggal. Keperluan di luar ketiga hal tersebut dipandang sebagai keperluan pelengkap (sekunder). Seseorang yang belum memenuhi keperluan pelengkap, tetapi telah memenuhi keperluan primernya, tidak dianggap miskin.
Kemiskinan dalam pengertian Islam ini—iaitu ketiadaan pemenuhan keperluan-keperluan primer—merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kemunduran serta kehancuran suatu umat. Sehingga syaitan menakut-nakuti manusia dengannya. “Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan.” (TMQ al-Baqarah [2]: 268)
Islam juga memandang kemiskinan sebagai bentuk kelemahan dan memerintahkan untuk menyayangi orang-orang fakir. Allah ﷻ berfirman (yang ertinya):
“Maka makanlah sebahagian daripadanya dan sebahagian lagi berikanlah untuk dimakan oleh orang-orang yang sengsara dan fakir.” (TMQ al-Hajj [22]: 28)
Islam telah mewajibkan usaha pemenuhan dan penyediaan keperluan primer ini bagi orang yang tidak memilikinya. Jika seseorang mampu memenuhinya secara mandiri, maka usaha itu wajib baginya. Namun, jika dia tidak mampu memenuhinya untuk dirinya sendiri kerana tidak memiliki harta yang cukup, atau tidak memungkinkan baginya memperoleh harta yang cukup, maka syariat membebankan kewajipan itu kepada pihak lain untuk memberi bantuan kepadanya. Hal itu tetap menjadi tanggungan orang lain sehingga keperluan primernya tersebut mencukupi dengan memadai untuknya.
Sumber: “An-Nizhâmul Iqtishâdi fil Islâm” – Taqiyuddin an-Nabhani
#KeperluanUtama #KeperluanAsas #kemiskinan