[Syarah Hadis] Kemampanan Produktiviti Tanah Terjamin
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
عَنْ عَمْرُو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَسُولَ الله صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقْطَعَ لِأُنَاسٍ مِنْ مُزَيْنَةَ أَوْ جُهَيْنَةَ أَرضًا؛ فَلم يعرموها فَجَاءَ قَوْمٌ فَعَمَرُوهَا فَخَاصَمَهُمُ الْجَهْنِيّوْنَ أَوِ الْمُزَنِيُّونَ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ الله تَعَالَى عَنْهُ؛ فَقَالَ: لَوْ كَانَتْ مِنِّي أَوْ مِنْ أَبِي بَكْرٍ لَرَدَدْتُهَا؛ وَلَكِنَّهَا قَطِيعَةٌ مِنْ رَسُولِ الله صَلَّى االله عَلَيْهِ وَسَلَّم. ثُمَّ قَالَ : مَنْ كَانَتْ لَهُ أَرْضٌ ثُمَّ تَرَكَهَا ثلَاثَ سِنِينَ فَلَمْ يَعْمُرَهَا فعمرها قوم آخَرُونَ فَهُمْ أَحَقُّ بِهَا
Daripada Amru bin Syu’aib, daripada bapanya bahawa Rasulullah SAW pernah memberikan tanah kepada orang-orang dari Muzainah atau Juhainah dan mereka tidak memakmurkan tanah tersebut. Kemudian datang kaum lainnya dan mereka memakmurkan tanah tersebut. Kemudian orang-orang Juhainah atau Muzainah membawa kes tersebut kepada Umar bin al-Khattab RA.
Umar berkata, “Andai tanah itu pemberian dariku atau dari Abu Bakar, nescaya aku mengembalikannya , tetapi tanah itu pemberian dari Rasulullah SAW “ Kemudian Umar berkata, “Siapa saja yang memiliki tanah, kemudian dia biarkan tiga tahun dan tidak dia makmurkan, lalu kaum lain memakmurkan tanah itu, maka kaum yang lain itu lebih berhak atas tanah tersebut.” [HR Abu Yusuf, Ibnu Zanjawayh, dan Yahya bin Adam].
Hadis ini menurut editorial Abu Yusuf (w. 182 H) dalam Al-Kharâj. Editorial yang hampir sama juga diriwayatkan oleh Ibn Zanjawayh (w.251 H) hadis nombor 1062 dalam Al-Amwâl li Ibni Zanjawayh.
Adapun Yahya bin Adam (w. 203 H) mengeluarkan hadis ini dalam kitabnya, Al-Kharâj, hadis nombor 287, dengan editor, Ismail telah memberitahu kami, dia berkata, Al-Hasan telah memberitahu kami, dia berkata: Yahya telah memberitahu kami, dia berkata: Sufyan bin Uyainah telah memberitahu kami dari Ibn Abiy Nujaih, dari Amru bin Shuaib atau yang lain, dia berkata,
أَقْطَعَ رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أناسًا مِنْ مُزَيْنَةَ أَوْ جُهَيْنَة أَرْضًا، فَعَطَّلُوهَا، فَجَاء قَوْمٌ فَأَحْيَوْهَا، فَقَالَ عُمَرُ: لَوْ كَانَتْ قَطِيعَة مِنِّي، أَوْ مِنْ أَبِي بَكْرٍ لَرَدَدْتها، وَلَكِنْ مِنْ رَسُول الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَال: وَقَالَ عُمَر مَنْ عَطَّلَ أَرْضًا: ثَلَاثَ سِنِينَ لَمْ يُعُمِّرْهَا فَجَاءَ غَيْرهُ فَعَمَّرَهَا فَهِيَ لَه
Rasulullah SAW pernah memberi tanah kepada orang Muzainah atau Juhainah dan mereka membiarkannya. Kemudian datang kaum lain dan mereka menghidupkan semula tanah tersebut. Kemudian Umar berkata, “Seandainya tanah itu pemberian dariku atau dari Abu Bakar, nescaya aku akan mengembalikannya, tetapi ia dari Rasulullah SAW.”Amru bin Syu’aib berkata, Umar berkata, “Sesiapa yang menelantarkan tanah tiga tahun, dia tidak memakmurkan, lalu datang orang lain dan memakmurkannya, maka tanah itu menjadi miliknya.”
Hal yang sama juga dikatakan oleh Abdullah bin Abu Bakar, di mana Bilal bin Al-Harith al-Muzani pernah datang kepada Rasulullah SAW dan minta diberi tanah. Kemudian baginda memberikan kepadanya tanah yang luas.
Ketika Umar diangkat menjadi khalifah, beliau berkata kepada Bilal, “Bilal, sesungguhnya kamu telah meminta kepada Rasulullah SAW tanah yang luas, lalu baginda memberimu tanah. Sesungguhnya baginda tidak menahan sesuatu yang diminta daripada baginda, sedang kamu tidak mampu mengerjakan apa yang (tanah) di tangan kamu.” Dia berkata, “Baiklah.”
Lalu Umar berkata, “Lihatlah dari tanah itu. Apa yang mampu kamu usahakan, pertahankanlah, dan apa yang tidak mampu kamu usahakan, serahkan kepada kami. (Tanah itu) akan kami bahagikan di antara kaum muslim.” Bilal berkata, “Aku tidak mahu melakukan itu, Demi Allah, itu sesuatu yang telah diberikan Rasululllah kepadaku.”
Umar berkata, “Demi Allah, sesungguhnya kamu harus melakukannya.” Kemudian Umar mengambil bahagian tanah yang tidak mampu diusahakan oleh Bilal dan Umar membahagi-bahagikan bahagian tanah itu di antara kaum muslim. [HR Yahya bin Adam hadis No. 294 di dalam Al-Kharâj; Ibnu Syabbah di dalam Târîkh al-Madînah li Ibni Syabbah; Al-Baihaqi No. 11825 di dalam Sunan al-Kubrâ].
Peristiwa dalam hadis di atas berlaku satu tahun atau lebih selepas Umar menjadi khalifah. Kata-kata Umar, “Seandainya tanah itu pemberian daripadaku atau daripada Abu Bakar, nescaya aku akan mengembalikannya, tetapi ia daripada Rasulullah,” menunjukkan bahawa tanah itu telah terbiar lebih dari tiga tahun berturut-turut sehingga Umar tidak dapat mengembalikan tanah itu kepada orang Juhainah atau Muzainah.
Ini kerana peruntukan hukum yang disebut dalam ucapan Umar seterusnya, iaitu seseorang yang membiarkan tanahnya selama tiga tahun berturut-turut, maka mereka kehilangan hak milik ke atas tanah tersebut. Kemudian jika ada orang lain yang memakmurkan tanah itu, maka tanah itu adalah milik orang itu.
Tanah yang telah diabaikan oleh pemiliknya selama tiga tahun berturut-turut atau lebih diambil oleh Khalifah, iaitu oleh Negara (Khilafah). Khilafah memberikan tanah kepada orang lain yang mampu memakmurkannya. Hal ini ditegaskan dalam hadis Bilal bin Haris al-Muzani di atas. Kejadian itu diketahui oleh para sahabat dan tiada siapa yang mengingkari. Dengan demikian, ketetapan tersebut menjadi ijmak sahabat dalam bentuk ijmak sukûti.
Hadis ini mengisyaratkan bahawa tanah itu hukum asalnya mestilah dimakmurkan, iaitu dimanfaatkan atau diproduktifkan. Tidak boleh dibiarkan. Malah membiarkan tanah tiga tahun berturut-turut atau lebih menjadi sebab atau ‘illat hilangnya kepemilikan atas tanah.
Hadis di atas juga mengisyaratkan bahawa negara hendaklah memastikan tanah yang ada tidak terbiar. Caranya ialah dengan mengambil tanah terbiar dan memberikan tanah tersebut kepada orang yang sanggup memakmurkannya. Ia juga memerlukan perkara lain supaya peruntukan itu dapat dilaksanakan termasuk urusan pentadbiran seperti pendaftaran, dokumentasi, data pemilikan tanah dan sebagainya.
Di samping itu, negara dapat memberikan bantuan kepada para pemilik tanah agar dapat memakmurkan atau menghidupkan tanah mereka termasuk untuk pertanian dan pengeluaran makanan. Ini seperti yang dilakukan oleh Umar bin al-Khattab kepada para petani di Irak, di mana beliau memberi mereka (dalam satu riwayat meminjamkan) mereka harta dari Baitulmal untuk modal pertanian.
Perkara ini diketahui oleh para sahabat dan tiada siapa yang mengingkarinya. Maka ini menjadi ijmak para sahabat untuk membolehkan hal ini dilakukan oleh Khalifah atau negara.
Dengan peruntukan ini, tanah sedia ada tidak akan diabaikan sebaliknya akan dimanfaatkan dan diproduktifkan termasuk untuk pertanian dan pengeluaran makanan. Dengan itu kelestarian produktiviti tanah dapat terjamin dan kelangsungan makanan juga dapat direalisasikan.
Wallahu’alam wa ahkam.