[Berita & Komentar] Wanita Palestin Tidak Memerlukan Persidangan Kolonial Barat Mengenai Kesaksamaan Jantina. Mereka Memerlukan Pembebasan daripada Penjajahan dan Pelaksanaan Sistem Islam.
Berita:
Pada 2 Disember, Fakulti Undang-Undang Universiti Al-Quds di Baitulmaqdis telah menganjurkan sebuah persidangan antarabangsa bertajuk “Kesaksamaan Jantina dan Pemerkasaan Wanita: Cabaran, Penyelesaian dan Amalan Terbaik di Wilayah Mediterranean.” Persidangan ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Wanita Palestin, Forum NGO Palestin untuk Membanteras Keganasan Terhadap Wanita, Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), serta Universiti Perugia di Itali. Acara ini dibiayai oleh Kerjasama Itali dan membincangkan lima tema utama: keganasan terhadap wanita, kesaksamaan jantina dalam pasaran buruh dan tempat kerja, wanita dan masyarakat, jantina dan sektor kerajaan, serta pengalaman Itali.
Para penceramah menekankan keperluan untuk mempromosikan program dan dasar kesaksamaan jantina dalam masyarakat, serta pemerkasaan ekonomi wanita melalui peningkatan penyertaan mereka dalam pasaran buruh. Mirko Tricoli, Ketua Pejabat Kerjasama Itali di Baitulmaqdis, menyatakan bahawa persidangan ini mencerminkan komitmen kolektif yang kukuh terhadap kesaksamaan jantina. Inisiatif ini bertujuan untuk mempromosikan kesaksamaan jantina dan mencegah keganasan berasaskan jantina di Palestin melalui transformasi sosial, budaya dan ekonomi.
Komentar:
Sungguh mengejutkan bahawa di sebalik genosid di Gaza dan keganasan harian yang dialami oleh wanita Palestin di Tebing Barat dan di seluruh Tanah yang Diberkati akibat penjajahan yang kejam – termasuk penyeksaan sistematik dan keganasan seksual di penjara-penjara penjajah – Universiti Al-Quds dan penyokong Barat mereka memilih untuk menjadikan ketidakseimbangan “Kesaksamaan Jantina” dalam masyarakat sebagai keutamaan yang memerlukan sebuah persidangan antarabangsa! Apakah bentuk pemerkasaan wanita yang boleh berlaku di bawah penjajahan yang kejam?!! Sudah tentu, mencabut entiti barbarik ini hingga ke akar umbilah yang sepatutnya menjadi topik utama perbincangan dalam kalangan ahli akademik dan masyarakat sivil di Palestin!
Ini menjadi bukti lanjut bahawa persidangan dan inisiatif yang dibiayai serta disokong oleh Barat untuk mempromosikan kesaksamaan jantina di bumi umat Islam bukan bertujuan untuk benar-benar memperbaiki kehidupan wanita di rantau ini, sebaliknya merupakan sebahagian daripada legasi kolonial yang berterusan, yang memaksakan kepercayaan, budaya, gaya hidup dan sistem Barat ke atas masyarakat dan negara Islam. Matlamatnya adalah untuk menghapuskan nilai serta undang-undang sosial, budaya dan keluarga Islam, dan menggantikannya dengan nilai Barat yang patuh kepada kehendak mereka, demi memudahkan kawalan politik Barat kolonial ke atas wilayah-wilayah ini.
Pendidikan dan institusi pendidikan khususnya telah lama menjadi alat kegemaran yang digunakan oleh negara-negara penjajah – dahulu dan kini – untuk menyebarkan budaya liberal sekular Barat dan menyingkirkan Islam daripada komuniti Muslim.
Persatuan mubaligh dan kebudayaan Eropah yang ditubuhkan di tanah umat Islam pada abad ke-19 dan ke-20 Masihi, serta Universiti Amerika di Beirut, merupakan contoh yang jelas.
Tambahan pula, bukanlah sesuatu yang baru apabila segelintir ahli akademik Muslim, yang terpesona dengan budaya Barat dan dibentuk oleh mentor, institusi dan organisasi kolonial, berperanan sebagai saluran penyebaran kepercayaan Barat dalam masyarakat mereka. Mereka mengikuti jejak langkah tokoh seperti Qasim Amin, yang melanjutkan pelajaran ke Perancis dan memasuki Universiti Montpellier pada abad ke-19, lalu kembali pada tahun 1885 Masihi dengan pemikiran Barat yang meresap sepenuhnya. Beliau kemudian mengkritik hijab, poligami serta pandangan Islam mengenai perceraian dan pewarisan dalam penulisannya, termasuk bukunya “The Liberation of Women” yang mempromosikan pemikiran Barat termasuk idea kebebasan tanpa batas.
Persidangan yang dianjurkan oleh Universiti Al-Quds ini sekadar mengulang naratif sekular Barat mengenai hak dan pemerkasaan wanita, tanpa sebarang analisis kritikal yang objektif terhadap kredibiliti konsep “Kesaksamaan Jantina” dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi wanita – sama ada keganasan rumah tangga, gangguan seksual, kemiskinan, atau kekurangan hak pendidikan, ekonomi, politik, perundangan dan penjagaan kesihatan. Kesaksamaan jantina, yang dijual sebagai penawar kepada masalah wanita, berusaha menyamakan peranan, hak dan tanggungjawab lelaki dan wanita dalam kehidupan keluarga dan masyarakat dengan kepercayaan bahawa ia akan mewujudkan penghormatan, keadilan dan kualiti hidup yang lebih baik bagi wanita. Hakikatnya, ia adalah satu konstruk Barat yang lahir daripada kegagalan langsung negara-negara Eropah dan negara sekular lain dalam menghargai kehidupan wanita serta memberikan mereka hak asas ekonomi, politik, perundangan dan pendidikan.
Namun, walaupun “Kesaksamaan Jantina” telah dimaktubkan dalam perlembagaan dan undang-undang di seluruh dunia, skala keganasan terhadap wanita, gangguan, kemiskinan, eksploitasi ekonomi dan seksual, serta penafian keadilan dan hak politik, ekonomi, pendidikan dan kesihatan yang dihadapi wanita kekal parah di Timur dan Barat. Tambahan pula, naratif pemerkasaan wanita melalui pekerjaan adalah palsu, kerana ramai wanita bekerja terpaksa memasuki pekerjaan bergaji rendah, berkualiti rendah dan sering bersifat eksploitatif, yang bukan sahaja gagal mengangkat mereka keluar daripada kemiskinan, malah memaksa mereka mengorbankan peranan penting sebagai ibu serta merampas masa berkualiti bersama anak-anak. Seruan terhadap kesaksamaan jantina dalam perkahwinan dan kehidupan keluarga juga telah mencetuskan kekeliruan dan konflik dalam tanggungjawab suami isteri serta keibubapaan, menjejaskan keharmonian keluarga dan menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian.
Pemerkasaan wanita di Palestin menuntut, pertama sekali, pencabutan sepenuhnya penjajahan Zionis dengan menyeru mobilisasi tentera-tentera Islam untuk membebaskan seluruh Tanah yang Diberkati daripada entiti pembunuh ini.
Kedua, pemerkasaan wanita di Palestin dan di seluruh dunia Islam memerlukan penubuhan sebuah sistem yang mempunyai asas politik, ekonomi, kehakiman dan pendidikan yang kukuh, yang mampu menjamin hak semua manusia – lelaki dan wanita – secara adil serta memastikan kualiti hidup yang baik. Ini hanya dapat dicapai melalui sistem yang ditetapkan oleh Sang Pencipta, Allah (swt), Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, dan bukan melalui sistem ciptaan manusia.
Ketiga, pemerkasaan wanita memerlukan pelaksanaan sistem sosial yang mewujudkan kerjasama antara lelaki dan wanita dalam semua bidang kehidupan, bagi memastikan maruah kedua-dua jantina terpelihara, serta menetapkan hak dan tanggungjawab yang selaras dengan fitrah mereka, mewujudkan keharmonian dalam perkahwinan dan kehidupan keluarga, dan benar-benar menghargai peranan penting wanita sebagai isteri dan ibu. Ini hanya dapat direalisasikan melalui undang-undang sosial Islam, dan bukan undang-undang berasaskan kesaksamaan jantina.
Oleh itu, bagi mereka yang benar-benar menginginkan kehidupan yang lebih baik untuk wanita di bumi umat Islam dan seterusnya, seruan kepada Sistem Allah (swt), iaitu Khilafah berdasarkan manhaj kenabian, sepatutnya menjadi topik utama perbincangan dan persidangan!
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Asma Siddiq
Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
#SavePalestine #SpeakUpforPalestine #1Ummah1Perjuangan #PalestineNeedsJihad #WeNeedKhilafah #AynalMuslimun